JURANG antara pemain perseorangan wanita negara dengan bintang dunia masih besar, dan kekurangan kemahiran teknikal serta taktikal menjadi penghalang utama untuk mereka bersaing di peringkat elit.

Ketua jurulatih perseorangan wanita negara, Iskandar Zulkarnain Zainuddin berkata, fokus utama kini bertumpu kepada memperkukuh aspek daya tahan dan memperkaya ‘senjata’ permainan setiap pemain bagi menghadapi jadual kejohanan padat.

K Letshanaa masih tercari-cari rentak di pentas antarabangsa.

Katanya, penilaian sedang dijalankan kerana beliau baru sahaja memulakan tugas bersama skuad itu awal bulan ini dan mahu memahami sepenuhnya keupayaan sebenar pemain.

“Buat masa ini, tumpuan kami kepada membina ketahanan fizikal dan mental supaya pemain mampu kekal konsisten dalam siri kejohanan yang panjang,” katanya, ketika ditemui di Akademi Badminton Malaysia (ABM), Bukit Kiara.

Wong Ling Ching belum mampu menandingi pemain elit dunia.

Menurutnya, selepas tahap ketahanan dipertingkat, latihan akan beralih kepada aspek teknikal dan taktikal bagi membolehkan pemain mempunyai pukulan penamat yang berbahaya.

“Kalau kita mahu menewaskan pemain elit dunia, kita mesti ada ‘senjata’ sendiri, sama ada serangan tajam, permainan jaring yang licik, atau kepantasan menukar arah,” tegasnya.

Siti Zulaikha harapan baharu BAM.

Iskandar turut memuji prestasi Wong Ling Ching yang mara ke final Malaysia Super 100 di Johor baru-baru ini, namun mengakui masih ada jurang besar apabila tewas kepada bekas juara dunia, Nozomi Okuhara di final.

Beliau menegaskan pemain muda negara perlu diberikan lebih banyak pendedahan di kejohanan antarabangsa agar dapat membina keyakinan, keberanian, dan mentaliti juara dalam mendepani lawan bertaraf dunia.