BEKAS pemain import Terengganu FC berketurunan Kanada-Jepun, Issey Nakajima-Farran mengumumkan persaraannya dari dunia bola sepak menjelang hari lahirnya yang ke-39 pada Mei.

Issey mewakili Terengganu dari 2015 hingga 2017 tampil sebanyak 61 perlawanan dan menjaringkan 32 gol sebelum berhijrah ke Pahang pada 2018 dan melakukan 10 penampilan dengan enam jaringan.

Pencapaian cemerlangnya bersama Terengganu menyaksikan dia dipilih sebagai pemain bulanan terbaik oleh PFAM untuk bulan Ogos dan Oktober 2015 ketika membantu skuad Peteh mendapat tempat keempat Liga Super dan layak ke suku akhir Piala FA.

 

Issey melakukan 38 penampilan bersama skuad kebangsaan Kanada dari 2006 hingga 2016 termasuk tiga penampilan ketika membantu Kanada menjuarai Concacaf Gold Cup 2017 dan mempunyai satu jaringan ketika aksi persahatan menentang St.Vincent and the Grenadines pada Mei 2008.

Karier profesionalnya membawa dia ke Asia, Eropah dan Amerika Utara termasuk mewakili beberapa kelab di Kanada seperti Toronto FC, Impact de Montréal dan Pacific FC dengan muncul juara Liga J2 bersama Albirex Nigata pada 2003, Liga Divisyen 1 Denmark dengan kelab Vejle Boldklub pada 2005-06 dan AC Horsens pada 2009-10, serta Kejuaraan A-League dengan Brisbane Roar pada 2011-12.

Selain itu pemain sayap lincah ini turut bermain di Jepun, England, Singapura, Denmark, Australia, Cyprus, Kanada, Malaysia dan Sepanyol termasuk dalam permainan Piala UEFA dan Liga Juara-Juara Concacaf.

Dilahirkan di Calgary, Canada, Issey yang membesar di Tokyo, Jepun dan London, England ini turut mempunyai bakat lain selain bermain bola sepak iaitu melukis. Selamat bersara Issey. Terima kasih atas kenangan di Liga Malaysia.