SEGALA yang berlaku biarkan berlalu kerana yang penting adalah masa depan yang menanti di hadapan.

Begitulah pemikiran pemain beregu wanita negara, Pearly Tan yang yakin sudah mempersiapkan diri bersama gandingannya, M Thinaah untuk menghadapi cabaran besar bermula Mei, apabila mata kelayakan Olimpik Paris 2024, bermula.

Semenjak kembali dari Terbuka Switzerland, gandingan itu akan mengharungi saingan kompetitif dan mungkin lebih mencabar kerana perebutan mata Olimpik menjadi taruhan.

Pearly Tan hanya mahu fokus kepada persiapan diri sendiri menjelang perlumbaan memungut mata kelayakan Olimpik Paris.

Begitupun, sebelum memburu mata kelayakan Olimpik, pemain akan bertarung di Kejohanan Badminton Asia (BAC) di Dubai 25 hingga 30 April ini, diikuti saingan Piala Sudirman di Suzhou, China (14-21 Mei) dan Perodua Maalysia Masters (23-28 Mei).

“Menyertai kejohanan berturut-turut bukan asing kepada kami sebagai pemain dan itu bukan isu yang mempengaruhi prestasi, yang penting kami fokus kepada diri dan permainan kami kerana saya sendiri mahu enjoy dalam setiap perlawanan,” kata Pearly, mengenai persiapan menjelang perebutan mata kelayakan untuk ke Sukan Olimpik Paris yang bermula 1 Mei.

Menurutnya, dia dan Thinaah kini melakukan yang terbaik dalam latihan dan komunikasi antara mereka juga bertambah baik.

Pearly Tan, M Thinaah bersama Aaron Chia-Soh Wooi Yik hadir pada hari pengumuman Perodua Malaysia Masters di Aakademi Badminton Malaysia (ABM).

“Kini saya sudah lakukan apa yang perlu begitu juga dengan rehabilitasi, dan jika apa-apa berlaku selepas ini (kecederaan) saya pasti akan ada sebabnya. Jadi saya hanya mahu fokus kepada diri sendiri dan mengenepikan hal-hal lain.”

Menyertai kejohanan berturut-turut bukanlah asing kepada pemain kebangsaan malah pada Mac lalu, mereka menghadapi saingan Terbuka Jerman, Seluruh england dan Terbuka Switzerland.

Pearly-Thinaah kini menghuni tangga kelapan dunia manakala dalam ranking jelajah dunia pula, mereka berada di kedudukan ketujuh.

Prestasi terbaik mereka tahun ini adalah mara ke separuh akhir kejohanan berstatus Super 750 Terbuka India, Indonesia Masters (Super 500) dan Terbuka Jerman (Super 300), manakala mereka tersingkir di pusingan pertama di kejohanan Super 1,000 Terbuka Malaysia dan Seluruh England, selain Terbuka Switzerland (Super 300).