PENYERANG berbisa Johor Darul Ta’zim (JDT), Bergson da Silva mengakui dia sangat berbangga apabila dapat bermain bersama pemain-pemain muda yang diberikan peluang beraksi ketika perlawanan Pusingan 16 Piala Malaysia menentang Kuala Lumpur Rovers.
Dalam aksi timbal balik di Stadium Sultan Ibrahim itu, pengendali JDT, Hector Bidoglio memberikan enam pemain muda debut mereka bersama skuad utama Harimau Selatan dan Bergson kagum dengan semangat yang ditunjukkan mereka dalam permainan.
Alif Mutalib, G.Pavithran, Christian Abad, Danish Hakimi, Fakhrul Haikal dan Gabriel Nistelrooy diberikan debut bersama skuad utama dan mereka mempamerkan aksi yang matang di dalam padang sambil dibantu pemain senior.

Bergson bangga bergandingan dengan pemain-pemain muda JDT
“Saya bangga dengan pemain-pemain muda yang diberikan peluang bermin kerana sememangnya mereka bekerja keras untuk mendapatkan tempat dan mereka juga sering berlatih bersama dalam sesi latihan berkumpulan.
“Sebagai pemain senior, saya tidak kisah untuk berkongsi pengalaman dan kami sebagai satu pasukan berharap pemain-pemain muda ini kekal melakukan apa yang sedang dilakukan dan akan menjadi kebanggaan buat kelab,” katanya dalam sidang media selepas perlawanan.
Pemain kelahiran Brazil itu juga gembira kerana berjaya menyumbang dua gol selepas dimasukkan pada babak kedua dan dia sentiasa mahu membuktikan kepada penyokong kemampuannya dan juga rakan-rakan sepasukan yang lain.

Bergson sudah menyumbang 25 gol buat Harimau Selatan musim ini dalam semua kejohanan
“Sebagai penyerang tugas saya adalah menjaringkan gol tetapi kami sebagai satu pasukan perlu kekal bermain baik dalam setiap untuk memberikan keyakinan dan keceriaan kepada para penyokong,” jelasnya.
Bergson kini akan meletakkan fokus pada aksi seterusnya menentang Buriram United dalam Liga Juara-Juara AFC Elite bagi memastikan JDT kekal merebut lapan tempat teratas Peringkat Liga Zon Timur untuk layak ke pusingan 16.