BEKAS perejam emas skuad sepak takraw kebangsaan, Mohd Futra Abdul Ghani melihat penganjuran Piala Dunia Sepak Takraw 2024 di Malaysia sebagai peluang besar buat pemain muda menyerlahkan bakat untuk bermain di kejohanan tersebut.

Mohd Futra yang dilantik sebagai ketua jurulatih pemain muda sepak takraw itu juga menyatakan bahawa momentum serta prestasi yang memberangsangkan telah ditunjukkan oleh beberapa pemain muda dan pihaknya kini sedang mengenal pasti bakat terbaik yang boleh diserap masuk ke dalam skuad ‘senior’.

Tambah pemenang pingat emas Sukan SEA di Filipina 2005 itu, pasukan sepak takraw Malaysia kini dilihat mempunyai corak permainan yang berbeza iaitu jauh lebih baik selepas berada di bawah kepimpinan baharu, Datuk Sumali Reduan selaku Presiden Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM) dan jurulatih yang lain.

“Sejujurnya untuk pendapat saya, pasukan Malaysia kini lebih cemerlang ketika beraksi di mana-mana kejohanan seperti di King’s Cup, Sukan Sea dan Piala Asia kerana mereka tidak ketinggalan jauh dan kekalahan juga agak tipis.

“Jelas bahawa prestasi pemain negara ini mempunyai peningkatan cuma perlu ditambah baik lagi dan memperbaiki setiap kekurangan yang ada untuk berdepan dengan negara-negara gergasi di Piala Dunia nanti.

“Malaysia yang dilantik sebagai tuan rumah untuk Piala Dunia Sepak Takraw ini juga satu detik yang bermakna buat saya kerana ianya dapat memberi impak besar buat sukan takraw di negara kita termasuk menarik minat pemain dari peringkat akar umbi lagi.

“Di sini kita juga boleh lihat betapa serius pihak PSM dalam menaik taraf pembangunan sepak takraw di peringkat dalaman mahupun luar,” ujarnya kepada Flash Sukan.