BEKAS perenang sensasi negara, Nurul Huda Abdullah diumumkan sebagai Chef de Mission (CDM) Malaysia ke temasya Sukan SEA ke-33 di Thailand, Disember ini.

Menerusi kenyataan rasmi Majlis Olimpik Malaysia (MOM), pelantikan Nurul Huda itu dilihat bertepatan dengan kredibilitinya yang mengumpul 22 emas dan 32 keseluruhan pingat Sukan SEA dari 1985 hingga 1989, sekali gus simbol keunggulan sukan wanita negara.

Beliau yang juga Naib Presiden MOM, bukan asing dalam pentas kepimpinan, selepas berperanan sebagai Timbalan CDM pada edisi 2019 di Filipina.

“Saya percaya pada kuasa inspirasi atlet untuk atlet. Dengan pengalaman lalu, saya mahu jadi pemangkin semangat buat kontinjen Malaysia,” katanya yang juga satu-satunya perenang wanita Malaysia memenangi pingat di Sukan Asia.

Beliau akan disokong barisan Timbalan CDM hebat, Datuk Kenny Goh, Nazmizan Mohamad, dan Jivan Mohan.

Presiden MOM Tan Sri Mohamad Norza Zakaria menyifatkan pemilihan empat tokoh berpengaruh ini sebagai satu strategi untuk memastikan kontinjen Malaysia dipandu oleh kombinasi pengalaman, kepimpinan dan semangat juang tinggi.

“Saya yakin kombinasi atlet legenda dan pentadbir berwibawa ini akan memberi impak besar dari segi motivasi, hala tuju dan semangat juang kontinjen negara,” katanya.

Temasya kali ini bukan sekadar misi kutip pingat, tetapi menjadi medan kebangkitan semangat Malaysia, dengan Nurul Huda di depan, memimpin seperti mana dia pernah menawan kolam seantero Asia Tenggara, sebelum ini.