DUNIA sukan tanah air hari ini kehilangan seorang figura besar yang telah banyak mencorak dan memacu pembangunan atlet negara ke tahap tertinggi.

Bekas Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), YBhg Datuk Wira Mazlan Ahmad, telah menghembuskan nafas terakhir di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) pada usia 75 tahun.

Menurut maklumat awal, Allahyarham sebelum ini dilaporkan tidak sedarkan diri akibat pendarahan dalam kepala dan mengalami jangkitan paru-paru.

Pemergian beliau pastinya dirasai oleh segenap komuniti sukan tanah air yang pernah menyaksikan sentuhan tangan dan visi besar beliau sepanjang memimpin MSN dari 1993 hingga 2005.

Datuk Wira Mazlan Ahmad bukan sekadar pentadbir  beliau arkitek utama di sebalik pelbagai inisiatif pembangunan sukan negara. Di bawah teraju kepimpinannya, banyak program ke arah melahirkan atlet bertaraf dunia diperkenalkan, menjadikan MSN lebih proaktif dan sistematik. Antara legasi yang terpahat kukuh ialah penglibatan beliau sebagai Chef-de-Mission Sukan SEA 2001, ketika Malaysia menjadi tuan rumah dan muncul juara keseluruhan.

Allahyarham turut pernah memegang pelbagai jawatan penting dalam badan sukan kebangsaan, termasuk dalam sukan lumba basikal, dan dikenali sebagai seorang yang tegas, berani dan cukup dihormati atas ketokohan serta pengalamannya yang luas dalam dunia pentadbiran sukan.

Pemergian beliau adalah satu kehilangan besar, namun legasi yang ditinggalkan tetap hidup — menjadi inspirasi buat generasi pelapis yang bakal memimpin arena sukan negara.

Seluruh warga Flash Sukan merakamkan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarham. Marilah kita bersama-sama sedekahkan Al-Fatihah dan mendoakan agar roh beliau dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan orang-orang yang beriman dan dikasihi-Nya.

Al-Fatihah.