Pentas terakhir Piala MFL 2024/25 bakal melabuhkan tirainya malam ini, dan segalanya terhidang untuk menjadi satu pengakhiran epik gelaran juara, ganjaran RM500,000 dan status perlawanan terakhir dalam sejarah kejohanan, semuanya ditentukan dalam tempoh 90 minit.

Dua perlawanan penentu akan berlangsung serentak  Johor Darul Ta’zim II (JDT II) menentang Penang FC II di Stadium Sultan Ibrahim, manakala Selangor FC beraksi menentang Kedah Darul Aman FC B (KDA B) di Stadium MBPJ.

Apa yang menarik, dua-dua pasukan teratas ini dipisahkan hanya satu mata, menjadikan malam ini ibarat perlawanan akhir tidak rasmi.

JDT II kini menerajui carta dengan 50 mata hasil 15 kemenangan dan 5 seri, manakala Selangor FC membayangi di tangga kedua dengan 49 mata. Andai JDT II mencatat kemenangan, mereka akan dinobatkan juara tanpa perlu menoleh ke belakang.

Tetapi jika mereka seri atau keciciran mata, Segalanya bakal terbuka semula buat Selangor FC, dengan syarat mereka wajib menang ke atas KDA B.

JDT II pastinya menaruh harapan kepada penyerang sensasi, Gabriel Nistelrooy yang telah meledak 22 gol dalam 23 aksi musim ini. Turut mencuri perhatian ialah Danish Syamer Tajuddin, pemain muda dari skuad Piala Presiden yang telah menyumbang 7 gol meskipun hanya menjadi pilihan simpanan dalam lebih separuh perlawanan.

Di kem Gergasi Merah pula, Abdul Rahman Daud menjadi taruhan utama jentera serangan dengan koleksi 9 gol, dibantu gandingan adik-beradik berbakat, Haykal Danish (6 gol) dan Harry Danish (5 gol).

Penjaga gol muda, Azim Al Amin Kamaruddin pula telah memainkan peranan penting dengan 18 penampilan di gawang Selangor musim ini.

Apa jua keputusannya malam ini, trofi Piala MFL akan mencipta detik terakhirnya selepas diumumkan bakal dimansuhkan bermula musim 2025/26.

Maka, siapa sahaja yang menjulang kejuaraan malam ini, bukan sahaja membawa pulang wang tunai RM500,000, malah turut melakar nama dalam sejarah sebagai juara terakhir dalam lipatan Piala MFL.