DARIPADA mengawal tempo di padang ke mengurus hala tuju kelab, Luka Modric membuktikan sentuhannya bukan sahaja berbisa di tengah padang, malah bernilai tinggi di luar garisan.
Bintang Real Madrid dan kapten Croatia itu sah bergelar pelabur dan pemilik bersama kelab Liga Kejuaraan England, Swansea City, seperti diumumkan pada Isnin.
Meskipun nilai pelaburan tidak didedahkan, Modric, 39, menyatakan keterujaannya untuk menyumbang pengalaman dan visinya demi membantu kelab Wales itu terus berkembang.
Dalam kenyataan di laman rasmi Swansea, pemenang Ballon d’Or 2018 itu menyifatkan peluang ini sebagai sesuatu yang istimewa.
“Swansea mempunyai identiti yang kuat, penyokong yang luar biasa dan cita-cita besar untuk bersaing di tahap tertinggi.
“Saya percaya pengalaman saya bermain di peringkat tertinggi mampu membantu kelab ini membina masa depan yang menarik,” katanya.
Modric yang sudah 13 musim bersama Real Madrid, telah memenangi enam gelaran Liga Juara-Juara dan masih menjadi tunjang pasukan.
Fokus terdekatnya kini adalah aksi timbal balik suku akhir Liga Juara-Juara menentang Arsenal, di mana Real perlu bangkit selepas tewas 3-0 di perlawanan pertama.
Kontrak Modric bersama Los Blancos dijangka tamat hujung musim ini, sekaligus membuka lebih ruang untuk beliau fokus kepada peranan barunya di Swansea.
Keputusan Modric ini turut mengikuti jejak langkah rakan seangkatannya seperti Kylian Mbappe dan Vinicius Junior yang turut melabur dalam kelab-kelab Eropah.
Ketua Pegawai Eksekutif Swansea, Tom Gorringe turut mengalu-alukan kehadiran legenda Croatia itu, menyifatkannya sebagai model terbaik buat seluruh warga kelab.
Swansea kini menduduki tangga ke-12 Liga Kejuaraan dan pelaburan Modric ini diharap mampu menyuntik semangat baharu ke arah misi kembali ke saingan Liga Perdana Inggeris.