South Korean President Lee Jae Myung delivers a speech during a ceremony marking the 76th anniversary of the outbreak of the Korean War in Suwon on June 25, 2026. (Photo by Jung Yeon-je / AFP)
Penyingkiran awal Korea Selatan di Piala Dunia 2026 mencetuskan reaksi keras daripada Presiden negara itu, Lee Jae Myung yang menyifatkan kegagalan skuad Taegeuk Warriors berpunca daripada masalah pengurusan dan proses pelantikan yang lemah.
Lee secara terbuka mengkritik struktur pentadbiran bola sepak negara itu susulan kegagalan Korea Selatan melepasi peringkat kumpulan, sambil menggesa siasatan menyeluruh dijalankan oleh Kementerian Kebudayaan, Sukan dan Pelancongan.
Menurut beliau, keputusan pelantikan dalam organisasi sukan memainkan peranan besar terhadap kejayaan sesebuah pasukan, dan kegagalan kali ini membuktikan kepentingan aspek tersebut.
“Saya bukan sekadar terkejut dengan keputusan yang tidak dijangka ini, saya benar-benar bingung.
“Sekali lagi terbukti bahawa keputusan pelantikan adalah segala-galanya. Apabila kepentingan tertentu diutamakan berbanding kecekapan, hasilnya jelas untuk dilihat,” katanya menerusi platform X.
Korea Selatan menamatkan kempen Piala Dunia dengan penuh kekecewaan selepas tewas berturut-turut kepada Mexico dan Afrika Selatan, sekali gus sekadar menduduki tangga ketiga Kumpulan A.
Keputusan itu menyaksikan mereka gagal berada dalam kelompok lapan pasukan tangga ketiga terbaik untuk mara ke pusingan 32 terbaik, meskipun ramai menjangkakan Korea Selatan mampu melepasi kumpulan tersebut.
Tekanan kini semakin memuncak terhadap ketua jurulatih, Hong Myung Bo, yang sebelum ini sudah berdepan kritikan sejak pelantikannya semula pada 2024.
Pelantikan Hong sebelum ini turut mencetuskan perdebatan dalam kalangan media tempatan yang mempersoalkan ketelusan proses pemilihan, walaupun semua dakwaan tersebut dinafikan.
Lee turut menyuarakan kebimbangan terhadap sistem pemantauan dalam badan sukan negara yang menurutnya menyukarkan proses semak dan imbang terhadap pihak yang mempunyai kuasa membuat keputusan.
“Kegagalan untuk layak yang menyebabkan rakyat berasa kecewa ini nampaknya berpunca daripada kegagalan organisasi dan pelantikan.
“Saya meminta kementerian berkaitan menyiasat secara menyeluruh punca sebenar insiden ini dan merangka langkah penambahbaikan agar perkara sama tidak berulang,” katanya.
Kemurkaan penyokong turut jelas kelihatan apabila satu petisyen untuk menyingkirkan Hong yang dimuat naik di laman Perhimpunan Kebangsaan berjaya memperoleh jumlah tandatangan diperlukan untuk semakan awal dalam tempoh singkat.
Malah, beberapa hantaran di media sosial yang menunjukkan premis-premis tertentu meletakkan notis melarang Hong memasuki kawasan mereka turut tular, menggambarkan kemarahan penyokong terhadap kegagalan skuad kebangsaan.