JOHOR DARUL TA’ZIM (JDT) membuktikan mengapa mereka adalah juara Liga Super sembilan kali berturut-turut apabila tetap berjaya memenangi perlawanan meskipun bermain dengan 10 pemain sepanjang 45 minit babak kedua.
Bergson Da Silva dilayangkan kad merah pada masa tambahan separuh masa pertama kerana menumbuk belakang Rodney Calvin namun ianya tidak menghalang JDT untuk menewaskan Kedah Darul Aman FC 3-1 di Stadium Darul Aman.
Tiga jaringan menerusi Bergson, penalti Leandro Velasquez dan Afiq Fazail cukup untuk memberikan tiga mata penuh buat Harimau Selatan untuk terus mengukuhkan cengkaman di puncak liga.
Three goals. Three points. 🔴🔵
More photos at https://t.co/FzVQ98PPZh#KDAvJDT#LigaSuper2022#LuaskanKuasamuJohor#JDTforAll pic.twitter.com/7oSdQwZsDS
— JOHORSouthernTigers (@OfficialJohor) October 4, 2022
Kedah berjaya mengejutkan JDT pada minit ke-13 apabila Ronald Ngah Wanja berjaya melakukan larian solo mengatasi tiga pemain sebelum merembat kencang bagi gol pendahuluan skuad Kenari.
Namun selepas itu, Kedah dilihat lebih banyak bertahan dengan JDT kerap melancarkan serangan demi serangan dan akhirnya Bergson berjaya melepasi perangkap ofsaid untuk menjaringkan gol penyamaan.
Keadaan huru-hara tercetus pada akhir babak pertama antara kedua-dua pasukan sebelum Bergson dilayangkan kad merah untuk mengakhiri babak pertama dengan kedudukan terikat 1-1.
Meskipun bermain dengan 10 pemain, JDT masih mengekalkan penguasaan bola dan akhirnya dua kesilapan dari pemain pertahanan Kedah memberikan dua gol tambahan buat JDT.
Kedudukan 3-1 kekal hingga tamat perlawanan sekaligus memberikan kekalahan kedua berturut-turut buat Kedah di laman sendiri manakala JDT melebarkan rekod tanpa kalah di tempat lawan kepada 47 perlawanan.
Kedah harus menyalahkan diri sendiri kerana gagal mengambil kesempatan beraksi dengan kelebihan seorang pemain dan di hadapan hampir 15,000 penyokong sendiri dengan Aidil Sharin Sahak perlu melakukan sesuatu kepada barisan pertahanan Hijau Kuning.
Dengan kekalahan ini Kedah kekal di tangga keenam liga dengan 27 mata dan akan berhadapan Negeri Sembilan di laman lawan selepas ini manakala JDT kekal teratas dengan 49 mata dengan Sri Pahang bakal menjadi lawan pada Jumaat.