“PEMAIN ada kemampuan yang tinggi apabila mereka mampu mempamerkan kebangkitan pada suku keempat, selepas ketinggalan 0-3,” kata jurulatih hoki kebangsaan, A Arul Selvaraj, ketika mengulas mengenai kekalahan kedua skuad hoki negara dalam siri Jelajah Eropah.
Pada perlawanan ketiga siri Jelajah Eropah yang berlangsung di Waterloo Ducks Hockey Club ASBL, Belgium itu, Speedy Tigers tewas 2-3 kepada Perancis.
Arul berkata, menyedari kekuatan skuad negara ketika mempamerkan kebangkitan bertenaga di suku keempat itu, beliau bagai hilang kata-kata apabila pemainnya kurang bertenaga di suku kedua dan ketiga.
“Pada suku pertama, pemain beraksi dengan baik dengan beberapa peluang menjaringkan gol dan kami perlukan jaringan padang. Pada aksi hari ini, terlalu banyak peluang dalam kawasan gol lawan kita abaikan,” kata jurulatih itu lagi.

Atur strategi… Speedy Tigers memburu kemenangan.
Pada perlawanan menentang Perancis itu, pasukan lawan mendahului 3-0 menerusi dua pukulan sudut penalty dan satu gol padang, masing-masing pada minit pertama, keempat dan 35 permainan.
Manakala gol Speedy Tigers dijaringkan Najib Abu Hassan menerusi gol padang pada minit ke-52 dan sudut penalty Razie Rahim pada minit ke-55.
“Justeru, kekurangan pasukan yang ketara pada perlawanan hari ini adalah kita banyak cipta peluang tapi tidak dihabiskan dengan kesungguhan, keyakinan dan tenaga yang tinggi.
“Seperti perlawanan hari ini, kita mahukan kemenangan, begitu juga dengan perlawanan esok, kita masih mahukan kemenangan,” kata Arul lagi
Arul berkata, pihaknya akan menganalisa perlawanan hari ini dan melakukan persiapan esok.
Pada Rabu, Malaysia sekali lagi akan turun menentang Perancis di gelanggang sama.
Pada perlawanan pertama, skuad negara menang 1-0 ke atas Belgium A, sebelum tewas 0-7 kepada skuad utama Belgium pada perlawanan kedua.
Siri Jelajah Eropah adalah persiapan skuad negara untuk ke Piala Dunia yang bakal berlangsung di India tahun hadapan.