SELEPAS kecewa menamatkan saingan Kejohanan Boling Terbuka Kuala Lumpur (KLIO) tahun lalu di tangga ke-24, pemain boling negara, Rafiq Ismail berazam untuk bangkit dan memburu keputusan lebih membanggakan dalam edisi kali ini.
Rafiq mengakui kelemahan dari segi teknikal dan kegagalan menyesuaikan diri dengan keadaan lorong menjadi punca prestasi hambar sebelum ini, namun percaya persiapan rapi bersama jurulatih mampu membantunya memperbaiki pencapaian itu.
“KL Open tahun lepas saya sangat teruk. Jadi tahun ini saya nak tebus. Saya dah dua kali jadi naib juara tahun ini, jadi harap dapat menang pula kali ini,” katanya yang kini memberi fokus kepada aspek fizikal dalam latihannya.
Mengulas format campuran lelaki dan wanita, Rafiq akui kelebihan tujuh pin handicap kepada pemain wanita memberi cabaran tersendiri, namun tetap mahu fokus kepada permainannya sendiri untuk berada dalam kelompok tiga terbaik.

Kejohanan Boling Terbuka Kuala Lumpur (KLIO) 2025 akan berlangsung pada 25 Mei hingga 1 Jun.
“Cabaran memang sengit, tapi saya tak kisah. Pemain tempatan pun ramai yang hebat. Tahun lepas pun yang menang bukan pemain kebangsaan. Jadi saya akan fokus pada game saya dan harap KL Open ini jadi titik kebangkitan,” katanya, yang juga juara dunia tahun lalu.
KLIO 2025 bakal menyaksikan pertarungan sengit apabila Rafiq, turut disaingi pemenang Jelajah PBA Tun Hakim Tun Hasnul Azam, dan juara Terbuka Malaysia Ethan Damien Goh serta Hafiz Zainuddin mengesahkan penyertaan mereka.
Lebih 800 pemain dari 12 negara dijangka berentap di Sunway Mega Lanes, Sunway Pyramid bermula 25 Mei hingga 1 Jun ini, menyaksikan kejohanan anjuran Persatuan Tenpin Boling Kuala Lumpur (KLTBA) itu terus melonjak prestijnya selepas kembali dipertandingkan tahun lalu.
Dengan jumlah hadiah keseluruhan meningkat kepada RM317,000, KLIO 2025 muncul antara kejohanan paling lumayan di Malaysia. Juara Divisyen Terbuka akan membawa pulang RM30,000 manakala juara Divisyen Graded pula bakal menerima RM20,000, selain hadiah tunai ditawarkan hingga ke tempat ke-36.