Majlis Paralimpik Malaysia (MPM) menyambut baik keputusan kerajaan menaikkan kadar ganjaran Skim Hadiah Kemenangan Sukan (SHAKAM) bagi atlet yang memenangi pingat dalam acara berpasukan, termasuk pada Sukan Para Asia dan Sukan Komanwel.

Presiden MPM, Datuk Seri Megat D. Shahriman Zaharudin menyifatkan penambahbaikan itu sebagai pengiktirafan bermakna terhadap usaha, komitmen serta pengorbanan atlet para negara yang membawa nama Malaysia di pentas antarabangsa.

Menerusi kadar baharu tersebut, atlet yang memenangi pingat emas acara berpasukan akan menerima RM40,000 berbanding RM15,000 sebelum ini, manakala ganjaran pingat perak meningkat daripada RM8,000 kepada RM20,000.

Bagi pemenang pingat gangsa pula, jumlah ganjaran dinaikkan daripada RM4,000 kepada RM10,000 bagi setiap atlet.

 

MPM turut menghargai keprihatinan Menteri Belia dan Sukan, Dr Mohammed Taufiq Johari dalam memastikan atlet para mendapat pengiktirafan sewajarnya atas pencapaian serta sumbangan mereka, khususnya menerusi kejohanan Sukan Para Asia dan Sukan Komanwel.

Menurut Megat D. Shahriman, peningkatan ganjaran itu bukan sekadar penghargaan kepada atlet yang sudah mencapai kejayaan, malah mampu menjadi pembakar semangat kepada generasi pelapis untuk terus berusaha mencapai kecemerlangan.

Beliau turut berharap inisiatif berkenaan dapat meningkatkan motivasi atlet para negara untuk terus bersaing dan mengharumkan nama Malaysia di peringkat antarabangsa.

Dalam masa sama, MPM merakamkan penghargaan kepada Kementerian Belia dan Sukan atas komitmen berterusan dalam memperkukuh kebajikan, pengiktirafan serta pembangunan sukan para negara.

MPM percaya penambahbaikan skim ganjaran tersebut menjadi satu perkembangan positif dalam usaha memastikan pengorbanan atlet para mendapat penghargaan setimpal, selain menggalakkan lebih ramai atlet untuk terus mengejar kejayaan di pentas antarabangsa.