Ketua jurulatih interim Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe memilih untuk melihat kekurangan pemain utama sebagai peluang kepada muka baharu membuktikan kemampuan ketika berdepan China dalam aksi persahabatan antarabangsa malam ini.

Skuad kebangsaan berdepan beberapa perubahan selepas pemain Johor Darul Ta’zim (JDT) tidak disenaraikan berikutan jadual kelab yang padat termasuk saingan Shopee Cup, manakala enam pemain Selangor FC terpaksa menarik diri akibat kecederaan.

Situasi itu turut menyaksikan pemain sayap Kuching City FC, Safawi Rasid meninggalkan kem latihan di China untuk pulang ke Malaysia atas urusan keluarga.

Walaupun terpaksa mengharungi dua aksi antarabangsa tanpa beberapa pemain berpengalaman, Cheng Hoe enggan menjadikan situasi berkenaan sebagai alasan sekiranya keputusan tidak memihak kepada skuad negara.

Sebaliknya, bekas pengendali Police Tero itu percaya peluang yang diberikan kepada pemain lain mampu membuka ruang untuk mereka menimba pengalaman serta membuktikan kualiti di peringkat antarabangsa.

“Sudah tentu sebagai jurulatih, saya tak boleh gunakan alasan kita tak bawa pemain terbaik untuk perlawanan ini. Tapi sebagai jurulatih, saya bersikap positif kerana itu membuka peluang kepada pemain-pemain lain beraksi dalam perlawanan-perlawanan antarabangsa,” katanya dalam sidang media praperlawanan.

Beliau turut meletakkan harapan agar pemain yang mendapat peluang kali ini mampu menunjukkan kesungguhan dan keazaman untuk memberikan persembahan terbaik bersama skuad kebangsaan.

“Saya fikir pada akhirnya, pemain-pemain baharu akan menunjukkan keazaman untuk beraksi cemerlang di peringkat antarabangsa.

“Perkara paling penting selepas perlawanan ialah para pemain dapat menimba pengalaman dan menambah keyakinan bila bersama skuad kebangsaan,” katanya.

Dalam masa sama, Harimau Malaya turut membawa misi untuk mengulangi keputusan positif ketika bertemu China pada 2023 apabila kedua-dua pasukan terikat seri 1-1.

Malaysia dijadual menentang China di Stadium Zhaoqing New District Sports Centre, Guangdong, China, jam 9 malam ini sebelum meneruskan aksi persahabatan menentang Yemen pada 17 November.