Kapten Harimau Malaya, Dion Cools menegaskan bahawa Malaysia sentiasa menjadi pilihan utamanya untuk diwakili di pentas antarabangsa kerana negara ini merupakan tempat kelahirannya.

Pemain pertahanan berusia 30 tahun itu berkata, keputusan menyarung jersi kebangsaan bukan sesuatu yang pernah diragui, meskipun beliau mempunyai latar belakang keluarga berdarah campuran Belgium dan Malaysia.

Dilahirkan di Kuching, Sarawak, Dion mempunyai bapa berketurunan Belgium, manakala ibunya, Xylina Chai berasal dari Malaysia. Latar belakang itu pernah mencetuskan spekulasi mengenai kemungkinan beliau mewakili China selepas media negara berkenaan mengaitkannya dengan usaha naturalisasi menerusi kelab Jiangsu Suning pada 2019.

Bagaimanapun, peluang tersebut tidak menjadi kenyataan apabila Dion akhirnya memilih Harimau Malaya pada 2021 selepas melengkapkan proses kelayakan untuk mewakili Malaysia.

Mengulas keputusan tersebut, Dion mengakui pemilihan pasukan kebangsaan merupakan perkara yang turut dibincangkan bersama keluarga sebelum beliau membuat keputusan muktamad.

“Malaysia merupakan tempat saya dilahirkan, jadi ia satu-satunya pilihan yang tepat untuk saya wakili di peringkat bola sepak kebangsaan dan itu sudah cukup jelas bagi saya,” katanya pada sidang media menjelang aksi menentang China.

Kini memikul tanggungjawab sebagai kapten, Dion turut meletakkan sasaran untuk memberikan sumbangan terbaik setiap kali mendapat peluang beraksi bersama skuad kebangsaan.

“Secara peribadi, bersama pasukan kebangsaan, saya mahu mencapai kejayaan sebaik mungkin, bermain dalam perlawanan yang baik dan memastikan saya dapat membuatkan negara bangga,” jelasnya.

Beliau turut berharap segala usaha yang dilakukan, sama ada di dalam mahupun luar padang, dapat terus membanggakan keluarga serta negara yang diwakilinya.

“Saya gembira dengan kehidupan saya sekarang dan berharap dapat terus membuatkan keluarga, terutamanya negara saya, bangga dengan apa yang saya lakukan di dalam dan luar padang,” katanya.

Dion kini bersedia mengetuai cabaran Harimau Malaya menjelang pertemuan menentang China dalam aksi persahabatan antarabangsa di Zhaoqing New District Sports Centre, Guangdong malam ini.