PEMAIN tengah Lion City Sailors, Adam Swandi secara rasmi mengumumkan persaraannya dari arena bola sepak pada usia muda, 28 tahun.

Pengumuman tersebut dibuat menerusi hantaran di media sosial setelah dia disahkan mengalami kardiomiopati, sejenis masalah jantung yang menjejaskan fungsi otot jantung.

Tonggak skuad kebangsaan Singapura itu juga mengakui keputusan tersebut amat sukar diterima, namun Adam tetap berasa bersyukur kerana dapat beraksi di peringkat tertinggi bersama Singapura dan kelab-kelab ternama.

“Saya Adam Swandi, ingin berkongsi satu mesej penting dengan anda semua.

“Dengan penuh emosi, saya secara rasmi mengumumkan persaraan saya daripada bola sepak profesional.

“Selama bertahun-tahun, saya bersyukur kerana dapat merealisasikan impian saya untuk bermain permainan yang indah ini pada tahap tertinggi.

“Ia merupakan satu penghormatan untuk berkongsi bahagian penting dalam hidup saya ini bersama anda semua.

“Tatkala saya menutup babak ini, rasa cinta saya terhadap bola sepak serta memori yang telah saya cipta akan sentiasa mendapat tempat yang istimewa dalam hati saya, Terima kasih kepada semua yang telah menjadi sebahagian besar perjalanan saya selama ini,” katanya yang dipetik daripada akaun Instagram miliknya.

Adam Swandi berkesempatan berbakti untuk pasukan negaranya sebanyak 22 kali.

Adam memulakan kerjaya profesionalnya bersama Young Lions sebelum menyarung jersi Albirex Niigata Singapura dan akhirnya Lion City Sailors.

Di peringkat antarabangsa, Adam mencatat 22 penampilan bersama skuad kebangsaan Singapura dengan menyumbang dua gol sepanjang kerjayanya.

Keputusan ini sekali gus menandakan penutupan satu era bagi pemain berbakat Singapura yang telah mencipta memori indah di padang bola sepak.