Kredit Gambar: Photo by Johnnie Izquierdo / GETTY IMAGES NORTH AMERICA / Getty Images via AFP
Liverpool memulakan era baharu di bawah kendalian Andoni Iraola dengan langkah positif apabila menewaskan Sunderland 4-2 dalam aksi pembukaan jelajah pramusim di Amerika Syarikat, namun kemenangan itu sedikit tercalar akibat kecederaan yang menimpa Joe Gomez.
Perlawanan yang berlangsung dalam cuaca panas di Nashville menyaksikan The Reds mempamerkan beberapa corak permainan menarik, termasuk gerakan berpasukan yang menghasilkan gol pembukaan seawal minit ke-13 menerusi pemain muda, Kieran Morrison.
Bagaimanapun, Sunderland bangkit menguasai permainan pada separuh masa pertama sebelum kedua-dua jurulatih melakukan rombakan besar selepas rehat dengan memberi peluang kepada ramai pemain.
Liverpool kembali menguasai aksi pada babak kedua apabila Dominik Szoboszlai menyamakan kedudukan menerusi rembatan kencang, sebelum Federico Chiesa dan Lewis Koumas melengkapkan kebangkitan untuk memastikan kemenangan 4-2.
Iraola mengakui masih banyak aspek yang perlu dipertingkatkan memandangkan ia merupakan perlawanan pertama skuadnya selepas menjalani latihan pramusim.
“Saya fikir kami menyaksikan dua babak permainan yang berbeza. Sunderland jauh lebih baik pada separuh masa pertama.
“Kami cuba membahagikan pemain kepada dua pasukan dan perbezaan itu jelas kelihatan. Sudah tentu masih banyak perkara yang perlu diperbaiki kerana ini adalah perlawanan pertama,” katanya.
Menurut pengendali dari Sepanyol itu, faktor keletihan turut mempengaruhi prestasi pemain selepas melalui beberapa sesi latihan intensif sejak memulakan persiapan musim baharu.
“Anda boleh lihat kaki pemain masih terasa berat kerana mereka sudah menjalani latihan. Kami masih belum cukup segar, tetapi perlawanan ini memberikan asas yang baik untuk kami terus memperbaiki pasukan,” katanya.
Namun, kemenangan itu dibayar dengan harga yang mahal apabila pertahanan berpengalaman Joe Gomez terpaksa dikeluarkan pada awal permainan selepas mengalami kecederaan yang dipercayai melibatkan otot.
Iraola menyifatkan kehilangan pemain itu sebagai berita paling mengecewakan memandangkan Liverpool sebelum ini berjaya mengharungi sesi latihan tanpa sebarang kecederaan.
“Berita paling buruk ialah kecederaan Joe yang berlaku sejurus selepas perlawanan bermula.
“Kami gembira kerana berjaya mengharungi semua sesi latihan tanpa kehilangan pemain, tetapi malangnya kali ini kami kehilangan Joe,” katanya.
Kemenangan itu menjadi permulaan positif buat Iraola yang mengambil alih tugas selaku pengurus Liverpool pada Jun lalu, dengan The Reds kini meneruskan persiapan menjelang musim baharu Liga Perdana Inggeris.