MENJELANG tiga hari Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) Persatuan Hoki Kuala Lumpur (PHKL) menyaksikan pencalonan baharu dalam setiap posisi yang dipertandingkan.

Jawatan presiden yang kini disandang I.Vikneswaran bakal menerima cabaran daripada Datuk Seri Megat D. Shahriman Zaharudin yang juga merupakan presiden HockAcademy.

Perebutan kerusi No.1 PHKL ini pastinya sengit dengan Vikneswaran cuba mempertahankan posisinya, manakala Megat Shahriman mahu kembali mengambil alih tampuk pimpinan persatuan seperti penggal 2019-2022.

Megat Shahriman dalam satu kenyataan memberitahu bahawa barisan baharu yang dicalonkan dalam AGM kali ini bersedia untuk melakukan perubahan lebih positif untuk persatuan serta komuniti hoki Kuala Lumpur.

“Kami mempunyai beberapa perancangan yang akan diberi tumpuan antara yang paling penting mengembalikan pembangunan pemain atau bakat baharu termasuk juga untuk pengadil dan barisan teknikal.

“Sudah tentu infrastruktur juga akan diberi perhatian selain memastikan hubungan lapisan komuniti terus erat.

“Selain program-program sosial, akan diketengahkan juga aktiviti bersama ahli-ahli gabungan.

“Dan yang paling penting juga adalah untuk melihat liga-liga di sekolah Kuala Lumpur dalam semua kategori peringkat umur, selain akan menganjurkan kejohanan liga dan sosial bagi kategori veteran antara kelab antarabangsa,” jelasnya.

Dalam pada itu, posisi Timbalan Presiden akan menyaksikan Muhamad Fariz Mustafa bakal berdepan dengan Joherman Amir dan Datuk Rosal Azimin Ahmad.

Bagi pencalonan Naib Presiden turut menjadi tumpuan adalah Ajitpal Singh, Razalee Yahya,Wong Khee Hon bakal berdepan dengan tujuh lagi pencalonan lain dalam AGM kali ini.

Manakala pencalonan Naib Presiden (Wanita) pula menyaksikan Zaidatul Syukriyah Abd Malik berdepan dengan Hebzibah Sudin.

Pencalonan bagi jawatan Setiausaha pula dua nama menjadi tumpuan iaitu Sukhji Singh berdepan dengan Vignesvaran Suppiah. Dan jawatan Bendahari juga menyaksikan dua nama pencalonan iaitu Muhamed Zubir Abdul Razak dan Datuk Hasry Sham Chasmen.

Mesyuarat Agung Tahunan PHKL bakal berlangsung pada 28 Disember ini.