ADA peluang tapi sukar, begitulah situasi skuad bola keranjang 3×3 negara yang perlu mengharungi ranjau jika mahu mendapatkan pingat dalam saingan Temasya Sukan SEA Kemboja kali ini.

Ketua jurulatih bola keranjang lelaki, Chin Zhi Shin berkata, biarpun membariskan skuad menyeluruh kali ini, namun lawan Malaysia dalam kumpulan B tidak boleh diremehkan.

Jurulatih bola keranjang lelaki, Chin Zhi Shin memberi input kepada pemain menjelang aksi pembukaan esok.

“Barisan kali ini lebih menyeluruh berbanding di Hanoi, malah kita ketengahkan pemain lebih muda.

“Saya mempunyai keyakinan penuh kepada mereka dan sasaran yang kita tetapkan adalah mara ke separuh akhir,” kata Zhi Shin, ketika memantau skuadnya menjalani latihan di Komplek Sukan Morodok Techo.

Selagi berjaya membuat jaringan, pemain bola keranjang 3×3 negara tidak perlu memikirkan cabaran pasukan lain.

Tambahnya, dengan kemampuan anak didiknya, reputasi pasukan seperti Thailand yang juga juara bertahan, Kemboja dan Singapura tidak boleh dipandang enteng.

“Thailand membariskan barisan yang sama seperti memenangi pingat emas di Hanoi.

“Tuan rumah, Kemboja pula dijangka menggunakan tiga khidmat pemain asing manakala Singapura pula sentiasa menjadi lawan yang sukar buat kita.”

Ada peluang.. tapi lawan dalam kumpulan B adalah sukar.

Sambil mengakui sukar, Zhi Shin berkata skuad 3×3 tetap ada peluang dan mampu mencipta keajaiban pada temasya kali ini.

Pada temasya lalu, Thailand mengungguli acara 3×3 lelaki dan wanita.

Skuad wanita turut diberi tanggungjawab untuk mengembalikan kegemilangan bola keranjang negara.

Pada sesi latihan rasmi itu, skuad wanita turut kelihatan melakukan persiapan sebelum turun ke gelanggang esok.

Skuad lelaki akan membuka tirai saingan menentang Singapura, manakala skuad wanita menentang Kemboja.