MOTIVASI pemain Harimau Malaya, Safawi Rasid, semakin berkobar-kobar menjelang Piala AFF setelah bergelar suami kepada aktres, Syifa Melvin.

Menurut bintang Johor Darul Ta’zim (JDT) itu, kehadiran Syifa, 28, di sisi sebagai isteri menjadi pembakar semangat selain turut diumumkan sebagai antara kapten skuad negara.

Safawi, 25, berkata, beliau akan menyertai kem latihan di bawah kendalian Kim Pan Gon, 5 Disember ini bagi menghadapi aksi pemanas badan serta sepak mula Piala AFF pada 21 Disember.

“Bagi saya, isteri (Syifa) adalah pemberi semangat paling utama selain keluarga dan saya harap semua mendoakan kebahagian kami.

“Tak lupa doakan kejayaan skuad negara membawa misi memburu kejuaraan Piala AFF, nanti,” katanya ketika ditemui FLASH SUKAN pada majlis persandingan mereka di Dungun, pada Sabtu.

Safawi, 25, sah bergelar suami kepada Syifa atau nama sebenarnya, Nur Syifa Athirah Amirul Melvin dalam majlis pernikahan, 28 November lalu.

Tiga hari lalu, Pan Gon mengumumkan empat kapten Harimau Malaya iaitu Brendan Gan, Dion Cools, Faisal Abdul Halim dan Safawi bagi menghadapi Piala AFF.

Malaysia akan membuka tirai Kumpulan B bertemu Myanmar disusuli menentang Laos (24 Disember), Vietnam (27 Disember) dan Singapura pada 3 Januari 2024.