PERTAHANAN Harimau Malaya, Ubaidullah Shamsul Fazili mengakui pertemuan dengan Vietnam dalam aksi separuh akhir pertama Piala ASEAN Hyundai 2026 Ahad ini antara perlawanan terbesar dalam kariernya.
Pemain muda itu sedar Malaysia hadir sebagai pasukan ‘underdog’ berbanding Vietnam yang merupakan juara bertahan kejohanan, namun percaya tiada perkara mustahil dalam bola sepak sekiranya seluruh pasukan memberikan aksi terbaik.
“Bagi saya, perlawanan esok adalah perlawanan yang sangat besar, malah lebih besar daripada perlawanan akhir itu sendiri. Sudah tentu, sebagai pemain dan sebagai satu pasukan, kami akan cuba melakukan yang terbaik untuk mengejutkan Vietnam esok,” katanya.
Ubaidullah turut mengakui impian untuk membawa Malaysia ke final menjadi antara motivasi utama pasukan menjelang aksi di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur.
“Tentu sekali kami mengimpikan untuk ke final. Dalam bola sepak, tiada apa yang mustahil. Jika kita buat yang terbaik, ia akan terjadi,” katanya.
Menurut pemain itu, Malaysia perlu mengelakkan kekalahan di laman sendiri sebelum bertandang ke Hanoi bagi aksi timbal balik, dengan kemenangan menjadi sasaran utama skuad negara.
“Untuk perlawanan esok, sama ada menang atau seri, kita tidak boleh kalah di laman sendiri. Menang adalah pilihan utama, namun jika seri pun, ia adalah keputusan yang baik untuk membawa motivasi ke Hanoi nanti,” katanya.
Dalam pada itu, Ubaidullah turut berkongsi mengenai keserasian bersama gandingan pertahanan, Rodney Celvin Akwensivie, yang dianggap antara faktor penting dalam membantu mereka mengawal benteng pasukan.
Katanya, perbezaan gaya permainan antara kedua-dua pemain sebenarnya membantu membentuk kombinasi yang lebih seimbang di bahagian pertahanan.
“Saya dan Rodney mempunyai gaya permainan yang berbeza. Sebagai pemain pertahanan, biasanya pasukan memerlukan dua jenis bek tengah yang berlainan.
“Saya rasa saya serasi dengan Rodney. Saya lebih suka bermain dengan bola (build-up), manakala Rodney lebih kepada gaya ‘brother’ yang sentiasa melindungi (cover) saya di belakang. Itulah ‘chemistry’ yang kami ada,” katanya.
Ubaidullah turut mengakui banyak mempelajari aspek permainan daripada Rodney yang lebih berpengalaman, ketika kedua-duanya bersiap menghadapi cabaran besar mengekang jentera serangan Vietnam.