CADANGAN supaya bekas pemain bola sepak yang pernah mewakili negara sebanyak 50 kali dan mempunyai sijil kejurulatihan menjadi jurulatih di peringkat sekolah dengan elaun RM2,000 sebulan merupakan idea praktikal.

Idea tersebut mempunyai nilai yang baik dalam memanfaatkan pengalaman bekas pemain bola sepak untuk pembangunan bola sepak di peringkat sekolah. Dengan memberi elaun bulanan, ini boleh menjadi insentif tambahan bagi bekas pemain untuk terlibat dalam pengajaran dan pembimbingan pemain muda.

Ini juga dapat membantu meningkatkan standard latihan dan pembangunan bakat di peringkat sekolah.

Perkara sedemikian telah disambut baik oleh pemerhati bola sepak tempatan, Datuk Dr Pekan Ramli ketika dihubungi FLASH SUKAN pada Jumaat.

“Secara peribadi saya sangat-sangat menyokong cadangan ini. Ini idea yang praktikal. Kalau kita ingin lahirkan pemain yang hebat, jangan minta sebarang orang untuk jadi jurulatih atau main tangkap muat sahaja.

“Sepatutnya penekanan di peringkat awalan atau asas permainan bola sepak ini dikendalikan oleh jurulatih yang terbaik dan mempunyai kompetensi untuk mengenalpasti bakat dan mengembangkan bakat tersebut hingga menjadi pemain yang cemerlang.

“Di negara kita ini agak bertentangan pula kerana coach yang hebat dan memililiki ilmu kejurulatihan yang hebat hingga ke “Lesen Pro A” kurang berminat melatih team sekolah atau akademi sebab tidak setimpal dengan upahnya, walhal di peringkat pembangunan inilah waktunya khidmat jurulatih-jurulatih terbaik ini sangat-sangat diperlukan,” katanya.

Semalam, Ahli Dewan Negara, Senator Datuk Mohd Hisamudin Yahaya memberitahu cadangan tersebut diutarakan bekas-bekas pemain kebangsaan sewaktu pertemuan bersama Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin baru-baru ini.

Namun begitu, jelas Pekan tidak semua bekas pemain kebangsaan berminat untuk jadi jurulatih dan juga tidak semestinya pemain yang hebat itu pasti menjadi jurulatih yang hebat.

“Jika cadangan ini diterima, ianya sedikit sebanyak turut membantu bekas-bekas pemain untuk menyara hidup.

“Cuma saranan ini juga perlu diselaraskan dengan baik dan perlu ada syarat atau kriteria khusus untuk dipenuhi oleh bekas pemain sebelum diterima sebagai jurulatih.

“Banyak elemen lain perlu dipelajari bekas pemain terutama jika anda melatih pemain di bawah umur. Bukan sahaja ilmu kejurulatihan yang perlu lengkap, bahkan memahami ilmu psikologi kanak-kanak juga penting.

“Pemain-pemain sudah pasti lebih teruja jika mempunyai jurulatih yang masih muda atau tidak terlalu tua,” ujar Pekan lagi.

ARTIKEL BERKAITAN : Kerajaan diminta pertimbangkan bekas pemain bola sepak jadi jurulatih peringkat sekolah

Lerroy Burrell dari bekas atlet kepada jurulatih pelari pecut.

Pekan juga menasihatkan sebaik-baiknya biarlah jurulatih itu juga mereka yang masih mampu menunjukkan kemahirannya sebagai bekas pemain.

“Amalan menggunakan khidmat bekas pemain atau atlet yang hebat sebagai jurulatih di peringkat sekolah dan universiti adalah amalan biasa di Amerika Syarikat.

“Beratus-ratus bekas pemain yang beraksi dalam ‘National Football League’ atau NFL’ kini berkhidmat sebagai jurulatih di sekolah-sekolah dan kolej serta universiti di sana.

“Begitu juga dengan bekas-bekas pemain bintang bola keranjang (NBA) dan nama-nama besar dalam bidang olahraga dunia yang kini menjadi jurulatih di kolej dan universiti termasuklah Allen Johnson (lompat pagar), Lerroy Burrell (pelari pecut) dan lain-lain.

“Barulah ianya bertepatan dengan konsep yang lebih jelas hala tujunya iaitu ‘champion produce champion‘,” katanya.

Cadangan Pekan untuk memilih bekas pemain yang masih mampu menunjukkan kemahiran mereka sebagai jurulatih adalah sangat relevan. Bekas pemain yang masih aktif dalam mengekalkan kemahiran dan kecergasan fizikal mereka dapat memberi contoh yang baik kepada pemain muda.

Mereka juga mungkin lebih mudah berinteraksi dan memahami cabaran yang dihadapi oleh pemain muda kerana pengalaman mereka yang masih segar dalam permainan. Dengan cara ini, mereka dapat memberikan bimbingan yang lebih berkesan dan relevan kepada pemain muda.