PASUKAN Kuching FA telah dinobatkan sebagai juara edisi pertama Liga Wanita Nasional (LWN) bagi Zon Sarawak 2022 selepas menewaskan Samarahan FA 3-1 pada 31 Julai lalu di Stadium Mini UNIMAS, Kota Samarahan.
Perlawanan bagi Zon Sarawak yang telah dilangsungkan pada 27 hingga 31 Julai lalu itu telah disertai oleh 6 pasukan iaitu Samarahan FA, Serian FA, Betong FA, Sarikei FA, Sibu FA dan Kuching FA.
Aksi perlawanan akhir di antara Kuching FA menentang Samarahan FA itu turut dihadiri oleh Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Negeri Sarawak, Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah, Timbalan Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk S. Sivasundaram, Naib Presiden FAM merangkap Presiden Persatuan Bolasepak Sarawak, Datuk Posa Majais dan Exco FAM merangkap Pengerusi Jawatankuasa Bolasepak Wanita FAM, Datuk Suraya Yaacob.

Menerusi kejayaan Kuching FA ini, pasukan berkenaan layak secara merit ke kejohanan Piala Tun Sharifah Rodziah (PTSR) 2022 yang dijadualkan bermula pada 3 hingga 10 September ini.
Sebanyak 8 pasukan terbaik dari Liga Wanita Nasional (LWN) akan layak ke Piala Tun Sharifah Rodziah dan ianya akan dimainkan secara liga peringkat kumpulan, kemudian dua pasukan teratas peringkat kumpulan akan bermain di pusingan separuh akhir dan dua pasukan pemenang akan ke perlawanan akhir.