PEMAIN beregu lelaki negara, Aaron Chia menegaskan skuad negara telah memberikan usaha terbaik sepanjang kempen Piala Thomas 2026 di Horsens, Denmark meskipun gagal ke separuh akhir.
Kapten pasukan itu berkata, komitmen setiap pemain tidak boleh dipersoalkan walaupun Malaysia terkandas di suku akhir selepas tewas 0-3 kepada China.
“Saya rasa semua rakan sepasukan sudah memberikan yang terbaik. Walaupun kita tidak berjaya ke separuh akhir atau final, tetapi seluruh pasukan sudah berusaha sehabis mungkin,” katanya.
Mengulas cabaran sebagai beregu utama, Aaron mengakui skuad negara berdepan kekangan apabila sering ketinggalan mata awal, namun ia tidak menjejaskan fokus pemain di gelanggang.
“Tidak kisah sama ada kita ketinggalan atau mendahului, bagi saya yang penting kita masuk gelanggang dan berikan yang terbaik,” katanya.
Beliau turut menegaskan pasukan akan terus bekerja keras, melakukan penambahbaikan bersama jurulatih serta memberi tumpuan kepada kejohanan akan datang termasuk Sukan Asia 2026 dan Kejohanan Dunia.