ACARA larian lebuh raya ikonik, IJM Allianz Duo Highway Challenge (DHC) 2026, kembali membuka tirai apabila pendaftaran rasmi mula dibuka pada 26 April lalu.
Edisi kelapan yang dijadual berlangsung pada 2 Ogos depan itu sekali lagi menawarkan pengalaman unik kepada peserta apabila laluan larian merentasi dua lebuh raya utama iaitu Lebuhraya Sungai Besi (BESRAYA) dan Lebuhraya Baru Pantai (NPE).
Lebih menarik, acara ini turut diperakui oleh World Athletics, sekali gus meningkatkan kredibiliti dan daya tarikan kepada pelari tempatan serta antarabangsa.
Penganjuran bersama IJM Corporation Berhad dan Allianz Malaysia Berhad itu menyasarkan penyertaan seramai 15,000 peserta, menjadikannya antara acara larian terbesar di negara ini.
Peserta boleh memilih empat kategori dipertandingkan iaitu maraton penuh (42.195 kilometer), separuh maraton (21km), 10km dan 5km yang sesuai untuk pelari kompetitif serta mereka yang ingin beriadah.
Pelepasan rasmi akan berlangsung berhampiran Sunway Pyramid di Lebuhraya NPE.
Pendaftaran akan ditutup pada 22 Jun ini dan boleh dilakukan menerusi laman web rasmi acara.

Sebagai galakan, penganjur turut menawarkan promosi khas “Surprise Promo” kepada peserta edisi terdahulu dengan diskaun segera bagi tempoh terhad sehingga 3 Mei ini.
Selain itu, peserta terpilih edisi 2024 dan 2025 turut berpeluang menaik taraf penyertaan ke kategori maraton penuh dengan kadar rata RM120, tertakluk kepada terma dan syarat.
Sejak diperkenalkan pada 2017, acara ini berjaya menarik lebih 70,000 peserta termasuk pelari antarabangsa, dengan edisi 2025 mencatatkan lebih 13,000 penyertaan dari 31 negara.
Penganjuran DHC 2026 turut mendapat sokongan pelbagai agensi termasuk Polis Diraja Malaysia, Lembaga Lebuhraya Malaysia dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur dalam memastikan kelancaran serta keselamatan acara.
Acara ini dilihat terus memainkan peranan penting dalam mempromosikan gaya hidup sihat serta memperkukuh komuniti larian di Malaysia.
GAMBAR SUMBER FB : IJM Allianz DUO Highway Challenge Run