ISU jualan jersi tiruan masih lagi berleluasa sekaligus merugikan kantung mana-mana persatuan kelab untuk menjana pendapatan sesuatu pasukan.

Perak FC tidak terkecuali dalam membanteras kegiatan ini dan ia dapat dilihat semasa aksi Piala Menteri Wilayah Persekutuan 2023 bertemu Kuala Lumpur City FC pada Sabtu lepas.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Perak FC, Bobie Farid Shamsuddin dilihat mengadakan sesi terjah sebelum perlawanan yang berlangsung di Stadium Cheras.

Katanya lagi, pihaknya akan berbincang bersama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Negeri bagi semua perlawanan di Stadium Perak berhubung perkara berkenaan.

“Selepas ini saya akan cuba bincang dengan KPDN Negeri untuk game di Stadium Perak.

“Kali ini kita tak warning warning dah atau bagi nasihat. Support dari anda semua juga amat diperlukan.

“Jom sama sama kita benteras lanun-lanun ni. Insya Allah,” tulis kenyataannya dalam Facebook TBG Super Fan.

Menurut undang-undang Malaysia, tindakan tegas di bawah Akta Cap Dagangan 2019 akan dikenakan kepada individu atau syarikat yang didapati menjual jersi tiruan.