KETUA Pegawai Eksekutif Selangor FC, Dr. Johan Kamal Hamidon berpuas hati dengan pencapaian awal pasukan dan gembira dengan kejayaan yang sedang dilalui oleh mereka ketika ini dan mahu momentum kemenangan ini dikekalkan oleh para pemain.

Johan juga masih menetapkan sasaran ke kejohanan Asia musim hadapan dan turut gembira dengan komitmen yang ditunjukkan para penyokong yang dianggap sebagai pemegang taruh terbesar dalam Selangor FC.

“Alhamdulillah bersyukur dengan aksi yang ditunjukkan oleh pemain dan barisan kejurulatihan serta kami juga gembira dengan komitmen daripada penyokong. Bukan mudah untuk tewaskan Terengganu kerana mereka juga dalam momentum kemenangan dan gembira dengan kejayaan ini.

Pemain-pemain Selangor meraikan kejayaan menewaskan Terengganu FC.

“Selepas tewas kepada JDT, sudah tentu kami semua gembira dan bersyukur sebab pemain dapat bangkit dan teruskan momentum kerana bukan mudah untuk kekal konsisten menang lima perlawanan berturut-turut.

“Pasukan Selangor kini semakin tenang dan lebih matang dari sudut persembahan dengan para pemain juga dapat menunjukkan aksi terbaik dan kami bersyukur kerana usaha untuk menubuhkan satu pasukan yang mantap makin mendapatkan hasil.

“Setakat ini sasaran kami ke Asia berada di landasan yang betul. Kini kami di kedudukan kedua Liga Super dan masih beraksi dalam Piala FA jika berdasarkan format kelayakan ke Asia. Namun begitu, musim masih panjang dan perlawanan masih banyak jadi penting untuk pemain fokus dan komited untuk perlawanan akan datang,” katanya ketika ditemui FLASH SUKAN selepas perlawanan.

Johan bersama RMS segak berbaju Melayu

Ditanya sama ada dia mahu tampil dalam forum antara Ketua Pegawai Eksekutif kelab seperti yang dianjurkan Tunku Mahkota Johor, Johan berkata dia lebih tumpukan kepada forum antara kelab dan para penyokong Selangor dahulu ketika ini.

“Pemegang taruh terbesar kami adalah penyokong dan sejak DYTM Raja Muda Selangor mengambil alih, kami sentiasa adakan forum bersama para penyokong untuk berkongsi apa yang berlaku dalam pasukan dan kami nampak nilai dan kebaikan perkara ini kerana kami mendapat maklum balas langsung daripada penyokong,” jelasnya.

Penyokong adalah pemegang taruh terbesar Selangor FC

Johan yang turut berbaju Melayu ketika perlawanan menentang Terengganu FC itu juga mengesahkan ada bayaran bonus Hari Raya buat semua pemain dan pegawai sebagai salah satu cara berkongsi rezeki di bulan Ramadan.

“Di bulan yang mulia ini, kita perlu rajin bersedekah jadi Alhamdulillah semua orang murah rezeki,” tambahnya disambut tawa yang panjang.