PERTAHANAN pasukan Kedah Darul Aman (KDA) FC harus diperbaiki Nafuzi Zain jika ingin terus bersaing pada kelompok terbaik Liga Super musim ini.

Rekod sembilan perlawanan, 14 bolos bukanlah sesuatu yang diingini pihak pengurusan mahupun para penyokong terutamanya reputasi kelab itu yang berbelanja besar bagi menghadirkan cabaran kepada pasukan lawan.

Nafuzi semasa dalam sidang media akui anak buahnya perlu perlu mengelak untuk bolos lagi dengan jaringan besar dalam pertemuan berikutnya seandainya mahu terus mengejar pasukan kelompok terbaik.

“Berdasarkan prestasi yang ditunjukkan pada masa ini, sukar buat pasukan untuk bersaing di kelompok atasan Liga Super selepas tewas tiga empat perlawanan.

“Kita tahu baki perlawanan Liga Super masih banyak lagi tapi kita kena buat sesuatu dan kelemahan perlu dibaiki,” kata pengendali berusia 44 tahun itu.

Terbaharu, kekalahan kepada Kuala Lumpur City FC di Stadium Darul Aman pada Selasa malam menimbulkan perasaan kurang senang peminat setia Sang Kenari.

KDA FC dilihat tertekan sejak awal permainan dengan pemain Bojan Hodak sudah mendominasi bola termasuk memperoleh jaringan pembukaan di separuh masa pertama.