PENGANJURAN Liga M5 2024 yang akan diadakan di Negeri Sembilan dan Melaka bakal berlangsung pada bulan Mei 2024.
Perkara ini telah diumumkan semasa Majlis Menandatangani Memorandum Perjanjian Persefahaman (MoU) antara Super Football League dan Persatuan Bola Sepak Melayu Melaka (PBSMM) yang berlangsung di Ideas Kuala Lumpur pada Khamis.
Menurut Datuk Mohd Ridhwan Mohd Ali selaku Presiden PBSMM, penganjuran Liga M5 di bawah dua negeri itu adalah satu projek baharu selepas mendapat keizinan daripada pihak di bawah Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) iaitu Liga Bola Sepak Amatur (AFL) sendiri.

Liga M5 bakal merancakkan industri bola sepak di Negeri Sembilan dan Melaka.
Tidak lain tidak bukan, liga itu dijalankan untuk membuka peluang kepada pemain-pemain bola sepak tempatan dari peringkat akar umbi lagi, dalam mengasah bakat dan kemahiran yang sedia ada.
Bukan hanya itu, MoU yang berlangsung telah mensasarkan tiga objektif lain, selain daripada penganjuran Liga M5, iaitu mengadakan kursus kejurulatihan profesional dan pengadil profesional dengan kerjasama semua pihak termasuk AFL.
“Kita akan lihat tahap sambutan Liga M5 untuk musim ini, jika ia berjalan dengan baik maka kita akan teruskan kerjasama ini.
“Paling penting sekali, liga ini dibuat di Melaka juga adalah untuk kita ketengahkan bakat-bakat muda dari negeri ini supaya orang luar boleh menilai dan melihat potensi mereka.
“Jadi, melalui kolaborasi ini, kita akan membuka penyertaan dan sasarkan 32 pasukan yang akan menyertai Liga M5 ini. Hadiah terkumpul setakat ini juga adalah sebanyak RM23,000 (untuk pemenang),” ujar Ridhwan semasa sesi sidang media pada Khamis.

Datuk Wira Yusuf galakkan lagi penganjuran bola sepak Liga M5.
Dalam perkembangan sama, Pengerusi AFL, Datuk Wira Yusuf Mahadi pula gembira akan usaha yang dipamerkan oleh pihak Super Football League dalam mengangkat lagi industri bola sepak di Malaysia.
“Kita memang menggalakkan bola sepak negeri dapat menganjurkan liga seperti ini dan membuka peluang juga kepada penganjur-penganjur persendirian supaya mendaftarkan identiti mereka kepada kita, sejurus mengikut struktur perlawanan kita.
“Setakat ini, sebanyak 15 Liga M5 telah dijalankan di Malaysia seperti di Selangor, Negeri Sembilan, Sabah, Sarawak, Perlis, Kelantan dan akan datang adalah Terengganu,” ujarnya.