“MAHU balik bilik, rehat, recover well, esok baru fikirkan perlawanan seterusnya.”
Demikian respon pantas Toh Ee Wei, selepas dia dan Chen Tang Jie mengesahkan slot ke suku akhir beregu campuran Sukan Olimpik Paris, sebagai juara kumpulan D.
Pasangan yang menghuni tangga ke sembilan dunia itu, mengejutkan gandingan ranking kedua dunia, Feng Yan Zhe-Huang Dong Ping dari China, sekali gus nama mereka terus dimasukkan ke laluan suku akhir, sementara pasangan China itu terpaksa menunggu undian yang akan dijalankan, selepas semua perlawanan peringkat kumpulan beregu campuran berakhir.
Pada perlawanan sebentar tadi, Tang Jie-Ee Wei tunduk 17-21 pada set pertama, melakukan kebangkitan pada dua set berikutnya sebelum memenangi perlawanan 21-15, 21-16.
“Dia (Huang Dong Ping) bermain dengan baik dan memaksa kami ke tahap maksimum, tapi paling penting kami berjaya mengeluarkan corak permainan kami,” kata Ee Wei.
Sementara Tang Jie pula berkata, gandingan China itu mempamerkan aksi berkualiti tetapi mereka berdua mampu mengawal emosi untuk bangkit melawan.
“Apa yang jadi hari ini, kami berjaya melawan dan mengawal emosi, malah komunikasi di gelanggang juga amat baik.
“Tapi ada lagi perlu kami tingkatkan dalam permainan kerana dalam Olimpik, apa sahaja boleh berlaku,” kata Tang Jie.
Kemenangan ke atas pasangan China itu, membolehkan Tang Jie-Ee Wei menyamakan rekod pertemuan kepada 2-2.
Ketika diminta mengulas mengenai peluang mereka di suku akhir, Ee Wei enggan mengulas lanjut berikutan penganjur perlu melakukan undian semula membabitkan naib juara setiap kumpulan.
“Game plan kami adalah percaya dengan diri sendiri tetapi hari ini mahu balik rehat dan tak mahu terlalu teruja.
“Kami perlu kekalkan momentum seperti perlawanan ini dan berharap dapat memberikan permainan yang lebih baik,” kata Ee Wei.