AWANG import baharu PDRM FC, Chidi Osuchukwu berkongsi bahawa cuaca panas di Malaysia tidak memberi sebarang impak terhadap prestasinya.

Menurut bekas pemain Liga Profesional Kazakhstan itu, dirinya sedar akan cuaca yang begitu panas di Malaysia, sejurus sahaja tiba di Kuala Lumpur pada minggu lalu.

Chidi yang berasal dari Nigeria itu berjaya diikat oleh pasukan Sang Saka Biru, setelah dirinya menamatkan kontrak satu musim (2023) bersama pasukan Aksu FC dari Kazakhstan.

PDRM FC telah mengumumkan kehadiran Chidi ke pasukan tersebut pada pagi Selasa.

“Ini merupakan kali pertama saya datang ke Malaysia dan semuanya baik sahaja setakat ini. Saya suka negara ini.

“Jika mengenai cuaca, cuaca di sini sangat panas. Anda boleh lihat yang saya berpeluh sekarang ini. Tahun lalu saya bermain di tempat yang agak sejuk, tempat tinggal saya juga sejuk.

“Ia tidak mempengaruhi prestasi saya, kerana saya rasa bila-bila masa sahaja saya akan terbiasa dan serasi dengan cuaca di sini.

“Mungkin dalam beberapa minggu lagi,” ujarnya kepada FLASH SUKAN di Stadium Perbandaran Selayang pada malam Selasa.

Chidi luah, Malaysia punyai cuaca yang cukup panas.

Tidak dinafikan sewaktu FLASH SUKAN menemu bual Chidi, dirinya kelihatan sangat berpeluh dan agak tidak selesa dengan keadaan itu.

Namun, dengan penuh keyakinan, Chidi sendiri mengungkapkan bahawa lama kelamaan, dirinya akan mendapat keserasian dengan cuaca panas di Malaysia ini.

Kehadiran pemain berusia 30 tahun itu pastinya bakal menjadi duri dalam daging bagi pasukan lawan sekali gus membantu untuk memperkuatkan lagi bahagian tengah skuad The Cops, menjelang saingan bola sepak musim 2024-2025 ini.