MESYUARAT Agung Tahunan (AGM) Persatuan Hoki Kuala Lumpur (KLHA) yang tertangguh gara-gara berlaku kekecohan pada 25 januari lalu, dijadual bersidang Ahad ini.

Selepas dipalit kontroversi, persatuan yang memayungi lebih 40 ahli gabungan itu, memberi jaminan proses pemilihan jawatan tertinggi baharu bagi penggal 2024-2026 pada mesyuarat itu, akan dibuat mengikut perlembagaan serta adil.

Penyandang Presiden PHKL, I.Vikneswaran berkata, selepas penangguhan kali kedua 25 Januari lalu, pihaknya sudah merujuk beberapa pihak termasuk Pesuruhjaya Sukan (PJS) mahupun peguam sukan.

“Marilah kita selesaikan demi kemajuan (hoki) Kuala Lumpur, secara positif kita habiskan (AGM) ini mengikut perlembaan, kerana PHKL berpegang teguh kepada perlembagaan,” kata Vikneswaran, dalam satu sidang media yang diadakan di pejabat PHKL, di Kuala Lumpur.

AGM PHKL yang berlangsung 25 Januari lalu ditangguhkan buat kali ketiga.

Sidang media itu turut dihadiri Bendaharinya, Datuk Hasry Sham Chasmen dan Setiausaha, S Vignesvaran.

Vikneswaran berkata, PJS menyarankan agar AGM persatuan itu dijalankan seberapa segera bagi mengelak kemelut berpanjangan selain mahukan proses pemilihan berlaku, bagi penggal pentadbiran baharu, Ahad ini.

“Sudah tentu dalam persatuan ini, kita ada tiga peguam tapi kita masih mendapatkan nasihat daripada peguam sukan.
“Kita juga merujuk kepada PJS, meminta nasihat dan sekarang yang boleh kita lakukan adalah melaksanakan AGM ‘in a good faith.”

Vikneswaran menambah, pihaknya kesal dan belajar daripada pengalaman ketika berlakunya kekecohan dan pertikaian pada 25 Januari lalu sehingga memaksa AGM ditangguhkan.

Begitupun, pihaknya tetap mahukan AGM Ahad ini berlangsung dengan baik dan mengutamakan aspek keselamatan.

Kepimpinan tahun 2024-2026 bakal diputuskan menerusi undian 39 ahli gabungan terhadap perebutan jawatan presiden, 5 naib presiden serta bendahari dan setiausaha.