ANDREAS Cornelius muncul wira Denmark apabila mengejutkan bekas juara dunia, Perancis dalam aksi Liga Negara-Negara yang berlangsung di Stade de France.
Babak pertama memperlihatkan kedua-dua pasukan buntu mendapatkan jaringan menyaksikan keputusan terikat 0-0.
Sejurus babak kedua bermula, kedua-dua pasukan memperkemas serangan dan hasilnya Perancis terlebih dahulu melegakan pasukan tuan rumah apabila Karim Benzema menyumbat masuk gol pertama pada minit ke-51 meletakkan Perancis 1-0 di hadapan.
Meskipun Perancis terus mengawal perlawanan, namun kealpaan benteng pertahanan tuan rumah dihukum Denmark dengan jaringan Andreas Cornelius pada minit ke-68.
Tatkala semua menyangka perlawanan akan berkesudahan seri, Cornelius berjaya menggegar gawang dengan jaringan kedua meletakkan Denmark berjaya mengejutkan pasukan tuan rumah 2-1.
Keputusan tersebut menyaksikan Denmark berada di tempat kedua Liga A1 dengan tiga mata bersama pendahulu liga, Austria namun hanya dibezakan jaringan gol.