Japan’s players react after losing the 2026 World Cup round of 32 football match between Brazil and Japan at the Houston Stadium in Houston on June 29, 2026. (Photo by Paul ELLIS / AFP)
IMPIAN Jepun untuk melakar sejarah sebagai juara dunia sekali lagi tertangguh selepas langkah mereka terhenti di pusingan 32 terbaik Piala Dunia 2026 susulan kekalahan dramatik 1-2 kepada Brazil, awal pagi tadi.
Skuad Samurai Blue yang hadir ke kejohanan dengan reputasi sebagai antara pencabar luar kejohanan hampir mencipta kejutan besar sebelum dikecewakan jaringan lewat Gabriel Martinelli pada minit ke-95.
Jepun terlebih dahulu mencuri kelebihan pada babak pertama dan hampir mengesahkan tempat ke pusingan seterusnya sebelum Brazil bangkit menyamakan kedudukan 11 minit selepas rehat.
Ketika aksi dilihat bakal berlanjutan ke masa tambahan, Brazil akhirnya memecah hati Jepun menerusi gol kemenangan pada penghujung perlawanan.
Pemain tengah Jepun, Daichi Kamada percaya pasukannya masih mempunyai jurang yang perlu ditutup jika mahu benar-benar bersaing untuk menjulang trofi Piala Dunia.
Menurut pemain Crystal Palace itu, Jepun perlu mengangkat bola sepak sebagai sukan nombor satu negara jika mahu mencapai standard kuasa besar dunia.
“Untuk menjadi negara yang benar-benar mampu menjulang trofi, anda memerlukan lebih banyak kualiti dan masih ada beberapa aspek yang kami kurang.
“Kami perlu terus mempopularkan bola sepak Jepun dan menjadikannya lebih baik. Jika ia tidak mencapai tahap sebagai sukan kebangsaan Jepun, saya rasa kami tidak akan mampu memenanginya,” katanya.
Walaupun tersingkir, kempen Jepun di Amerika Utara tetap dianggap positif selepas mereka menampilkan persembahan konsisten di peringkat kumpulan.
Mereka menamatkan saingan Kumpulan F sebagai naib juara hasil keputusan seri menentang Belanda dan Sweden, selain mencatat kemenangan ke atas Tunisia.
Pertahanan Jepun, Shogo Taniguchi pula melihat perjalanan pasukan menuju Piala Dunia kali ini sebagai sesuatu yang membanggakan meskipun berakhir dengan kekecewaan.
Sementara itu, penjaga gol muda Zion Suzuki menegaskan skuad Jepun masih mempunyai ruang besar untuk berkembang, terutama dari sudut kematangan ketika berdepan pasukan elit dunia.
Jepun kini akan mengalihkan fokus kepada cabaran seterusnya iaitu Piala Asia 2027 di Arab Saudi, dengan misi untuk terus memperkukuhkan status mereka sebagai kuasa utama bola sepak Asia.