MANCHESTER United secara rasmi telah mengumumkan keputusan untuk berpisah dengan pengurus mereka, Erik ten Hag, selepas permulaan musim yang dianggap mengecewakan.

Pasukan Red Devils hanya mampu meraih empat kemenangan daripada 14 perlawanan dalam semua kejohanan yang mereka sertai, menyebabkan tekanan terhadap pengurus dari Belanda itu semakin meningkat.

Menurut kenyataan rasmi kelab itu, bekas penyerang ikonik United, Ruud van Nistelrooy, kini dilantik sebagai pengurus interim bagi menerajui pasukan sementara pihak pengurusan mencari pengganti tetap.

Reaksi terhadap pemecatan Ten Hag telah menyusul di media sosial, dengan pemain-pemain utama Manchester United menyatakan penghargaan mereka kepada pengurus berusia 53 tahun itu.

Ketua pasukan, Bruno Fernandes, antara yang diberi perhatian apabila memuat naik mesej penuh penghargaan di Instagram.

“Terima kasih untuk segalanya bos! Saya menghargai kepercayaan dan saat-saat yang kita kongsi bersama. 

“Walaupun kami sedar prestasi kebelakangan ini tidak memberangsangkan, saya harap peminat akan terus menghargai perkara-perkara baik yang dilakukan kamu untuk kelab kita,” katanya yang dipetik daripada Instagram.

Luke Shaw, seorang lagi pemain pertahanan yang lama berkhidmat di United turut memuat naik mesej penghargaannya. “Hari seperti hari ini tidaklah mudah, tetapi saya bersyukur atas apa yang kita capai bersama. Saya ingin mengucapkan terima kasih dan semoga berjaya di masa depan, bos,” tambahnya.

Manchester United kini dikaitkan dengan beberapa calon untuk mengisi kekosongan pengurus utama, dengan bos Sporting, Ruben Amorim, disebut-sebut sebagai pilihan utama.

Nama-nama lain seperti Thomas Frank, Xavi Hernandez dan bekas pengurus United, Ole Gunnar Solskjaer, juga dikhabarkan berada dalam senarai pilihan.

Nistelrooy akan memulakan tugasnya sebagai pengurus interim apabila Manchester United berdepan Leicester City di pusingan 16 Piala Carabao di Old Trafford awal pagi khamis nanti.