PASUKAN Jetron Yamaha YYPang Racing Team antara skuad paling ‘senior’ di Kejuaraan Petronas Cub Prix Malaysia bakal mempamerkan aura baharu dalam perlumbaan Cub Prix 2024 yang akan berlangsung tidak lama lagi.

YYPang yang mempunyai duo juara bertahan dalam kategori CP125 iaitu Khairi Asyraf Mahmood yang musim lalu berjaya meraih gelaran keseluruhan dengan 167 mata, disusuli seorang lagi wira pasukan, Shafiq Ezzariq Saiful Nizam yang menduduki tempat kedua.

Menurut Gary Pang selaku Penyelaras Pasukan Jetron Yamaha, dirinya akui bahawa saingan di musim 2024 semestinya lebih mencabar, tambahan lagi dengan penyertaan pelumba-pelumba pasukan lain yang berkemahiran tinggi dan berkaliber.

Gary Pang sedang berkongsi penjelasan lanjut tentang pasukan YYPang Racing Team.

“Namun demikian, kami agak yakin dengan kebolehan pasukan kami dan mana-mana kekurangan yang dihadapi akan diatasi bersama-sama.

“Kami amat berbangga dengan pencapaian pasukan kami secara keseluruhan pada musim lepas terutamanya di kategori CP125.

“Meski persaingan agak sengit sepanjang musim tersebut, pelumba-pelumba kami bersama-sama pasukan serta krew telah meneruskan semangat berjuang dan telah tampil dengan prestasi yang hebat untuk memastikan kedudukan kami kekal di tangga tiga teratas,” ujarnya dalam sesi sidang media di Bukit Jelutong, Shah Alam.

Bangunan pejabat baharu YYPang terletak di Bukit Jelutong, Shah Alam.

Ibu pejabat baharu YYPang yang tersergam indah di Bukit Jelutong, Shah Alam turut dirasmikan pada Rabu selepas mengumumkan barisan pelumba untuk Kejuaraan Cub Prix edisi ke-31 ini.

Bagi kategori CP125, tonggak utama iaitu Md Khairi Ashraf dan Md Shafiq Ezzariq akan meneruskan semangat berlumba mereka bersama pelumba baharu, Abdullah Qayyum Razak manakala kelas CP150 diwakili oleh Md Fareez Afeez dan Md Aiman Tahiruddin.