PENYERANG PJ City FC dan Harimau Malaya, Darren Lok mempunyai perasaan bercampur baur selepas pasukannya tewas kepada Sabah FC dalam aksi Liga Super di Stadium MBPJ, Kelana Jaya.

Darren gembira kerana berjaya menjaringkan gol ketujuh peribadinya musim ini namun gagal menyembunyikan kesedihan apabila jaringannya gagal membantu kelabnya meraih kemenangan.

Ditanya adakah dia gembira apabila berjaya menjaringkan gol di hadapan barisan kejurulatihan Malaysia yang diketuai Ketua Jurulatih Kim Pan-gon, Darren ternyata gembira dan berpuas hati kerana ianya penting untuk memastikan dia terpilih mewakili skuad kebangsaan.

Pemain kacukan Malaysia – Inggeris ini dilihat semakin konsisten menjaringkan gol dalam perlawanan Liga Super dan berharap ianya akan berjaya menarik perhatian barisan kejurulatihan Harimau Malaya.

“Semestinya saya gembira dapat menjaringkan gol dan menambah bilangannya dalam liga tetapi rasa kecewa lebih menebal kerana gagal membantu pasukan mengutip tiga mata penuh malam ini.

“Dapat menjaringkan gol di hadapan Kim Pan-gon adalah satu perkara yang mustahak kerana ianya akan menjadikan saya pilihan oleh ketua jurulatih kebangsaan untuk mengisi posisi penyerang,” katanya kepada FLASH SUKAN.

PJ City FC yang dibarisi kesemua pemain tempatan dilihat agak bergelut dalam saingan liga tetapi Darren kini muncul penyerang tempatan terbaik dengan tujuh gol dan bersaing dengan penyerang import yang lain.

Darren kini mempunyai 11 kaps dalam skuad Harimau Malaya sejak melakukan debut pada 2016 dan berjaya menjaringkan dua gol dengan jaringan terbaru hadir ketika Malaysia menewaskan Bangladesh 4-1 untuk layak ke Piala Asia.