PENGENDALI PJ City FC, P.Maniam tahu bahawa barisan pemainnya mahukan kemenangan tetapi nasib masih belum menyebelahi mereka apabila tewas kepada Sabah FC 2-1 meskipun sudah mendahului pada babak pertama.

Maniam juga berpendapat bahawa mereka terlalu banyak memberikan ruang kepada pasukan lawan dan akhirnya mereka dihukum dan akhirnya akur dengan kekalahan ini.

Kecergasan para pemain juga akan dipantau terutama pemulihan sebelum barisan kejurulatihan akan membuat keputusan siapa yang akan bermain apabila bertemu Terengganu FC selepas ini.

“Kami bermain lebih aggresif kerana pemain mahukan kemenangan dan kami bermain baik pada separuh masa pertama. Segalanya telah dilakukan dengan baik tetapi gagal mendapat mata penuh.

“Kami memberikan ruang yang banyak kepada lawan untuk menekan dan akhirnya kami dihukum dengan gol pantas pada babak kedua dan akhirnya kita tewas,” jelas Maniam ketika sidang media.

PJ City FC kini tanpa kemenangan dalam sembilan perlawanan dan apabila ditanya adakah ianya menggusarkan, Maniam menjawab ianya bukan perkara yang perlu dirisaukan kerana masih banyak perlawanan akan ditempuh.

Liga ini umpama marathon. Kami mahukan kemenangan dan kami menukar formasi dan bermain lebih aggresif tetapi tidak bernasib baik dan kini bersedia untuk menghadapi perlawanan selepas ini.

“Kita akan lihat pada pemulihan para pemain dan akan bercakap dengan pemain mengenai keadaan dan kesediaan mereka untuk bermain. Selepas itu barulah saya boleh menyediakan pemain sebelum menentang Terengganu selepas ini.

Dengan kekalahan ini, PJ City kini ditangga kesembilan dengan 11 mata dari 12 perlawanan dan akan menempuh lima perlawanan dalam masa 15 hari sepanjang Ogos ini.