Ecuador’s midfielder #09 John Yeboah and Ivory Coast’s forward #11 Yan Diomande fight for the ball during the 2026 World Cup Group E football match between Ivory Coast and Ecuador at the Philadelphia Stadium in Philadelphia on June 14, 2026. (Photo by CHARLY TRIBALLEAU / AFP)

Ivory Coast memulakan kempen Piala Dunia 2026 dengan langkah kanan selepas menewaskan Ecuador 1-0 hasil jaringan lewat Amad Diallo dalam aksi pembukaan kumpulan, pagi tadi.

Pemain Manchester United itu muncul wira pasukan apabila meledak gol kemenangan pada minit ke-90, sekali gus menghadiahkan tiga mata berharga buat wakil Afrika Barat tersebut.

Kemenangan itu memberi suntikan keyakinan kepada Ivory Coast yang kembali beraksi di pentas Piala Dunia buat kali pertama sejak edisi 2014.

Pemain sayap Ivory Coast, Yan Diomande menyifatkan kemenangan ke atas Ecuador sebagai permulaan penting dalam usaha pasukannya melakar sesuatu yang lebih besar dalam kejohanan kali ini.

“Memang penting untuk memulakan kempen dengan kemenangan bagi membantu keyakinan.

“Kami tahu Ecuador pasukan yang kuat. Kami perlu bersabar dan menunggu peluang dan kami berjaya mendapatkan gol itu,” katanya.

Menurut pemain RB Leipzig itu, Ivory Coast tidak hadir ke Piala Dunia sekadar untuk melengkapkan jadual pertandingan, sebaliknya mahu mencipta sejarah baharu buat negara mereka.

“Kami tidak datang ke sini hanya untuk mengambil bahagian. Kami mahu mencipta sejarah,” katanya.

Dalam perlawanan tersebut, Ecuador sebenarnya hampir membuka jaringan pada babak pertama apabila dua percubaan mereka terkena palang gol, namun Ivory Coast berjaya bertahan sebelum meningkatkan mutu permainan selepas rehat.

Jurulatih Ivory Coast, Emerse Fae mengakui pemainnya sedikit gugup pada peringkat awal perlawanan memandangkan kebanyakan mereka beraksi di pentas Piala Dunia buat kali pertama.

“Pemain agak gugup. Ini Piala Dunia pertama untuk semua, jadi ada sedikit ketegangan. Mereka takut untuk mengambil risiko.

“Kami berjaya bertahan dan kekal fokus.

“Pada babak kedua kami lebih berdisiplin dan kami mempunyai penyerang yang boleh mengubah permainan pada bila-bila masa,” katanya.

Ivory Coast kini berada dalam kedudukan baik untuk memburu tiket ke pusingan kalah mati menjelang pertemuan menentang Jerman di Toronto pada 20 Jun sebelum melengkapkan aksi kumpulan berdepan Curacao.