DEBUT buat kedua-dua pemain Malaysia ketika bertemu Thailand pada saingan Piala Raja Thai di Chiang Mai, Thailand menjadi tarikan dan bualan bagi peminat-peminat bola sepak tanah air.
Pengalaman arkitek tengah, Muhammad Azam Azmi Murad bersama Terengganu FC jelas digunakan sebaik mungkin untuk terus mengemudi jentera tengah pasukan kebangsaan dengan melakukan hantaran jauh yang sering tepat ke kaki rakan sepasukan.
Azam juga sebelum ini dipuji kerana kreativitinya mencipta peluang di bahagian tengah buat penyerang melakukan penyudah.
“Penampilan pertama saya berasa gembira kerana diberi peluang oleh jurulatih dan saya bersyukur kita dapat meraih kemenangan.
“Sebelum ini, saya pernah bermain di bahagian tengah, jadi mungkin latihan yang mencukupi membantu saya.
“Semestinya, tidak sabar sebab final dan jika diberi peluang akan bermain dengan baik,” ujarnya semasa ditemubual FLASH SUKAN pada Jumaat.

Azam Azmi Murad
Sementara itu, pertahanan Kuala Lumpur City FC, Declan Lambert berkongsi keterujaan kerana diberi kepercayaan Kim Pan-gon untuk bersama skuad kebangsaan dalam 10 minit terakhir.
Lebih manis lagi, penampilan sulung Declan turut diiringi dengan jaringan penalti Corbin Ong membawa Harimau Malaya ke pentas akhir yang berlangsung Ahad ini.
“Saya sangat teruja kerana mendapat kepercayaan dalam 10 minit terakhir perlawanan. Saya mendapat debut pertama bersama pasukan kebangsaan.
“Saya rasa pasukan sangat rapat antara satu lain. Ia sangat mudah untuk mendapat keakraban bersama pemain lain.
“Pemain dan barisan jurulatih sangat membantu pemain-pemain baharu supaya kami dapat menyesuaikan dengan taktik yang diberikan.
“Kemenangan sudah tentu menghadirkan perasaan gembira tetapi apabila anda memiliki peluang menang menerusi sepakan penalti dan mara ke perlawanan akhir, ia sangat mengujakan apabila jaringan Corbin membawa Malaysia ke final.
“Jurulatih sentiasa mengingatkan kami agar bermain secara high pressing, tidak mudah hilang bola dan sentiasa memberikan tekanan berterusan kepada pasukan lawan. Saya harap penantian 44 tahun itu dapat ditamatkan apabila bertemu Tajikistan,” katanya.