PENJAGA gol skuad kebangsaan Bawah 23 (B-23) tahun, Azim Al-Amin akui terdapat persaingan hebat dalam merebut posisi sebagai penjaga gol di kelayakan Piala Asia Qatar pada April depan.

Pasukan kendalian Juan Torres Garrido ini telah memulakan sesi latihan rasmi hari pertamanya di Padang Wisma FAM, Kelana Jaya sekali gus menyaksikan seramai 17 pemain telah berjaya melapor diri termasuk seorang lagi penjaga gol, Syahmi Adib Haikal.

Walaupun mempunyai beberapa nama hebat dalam saingan untuk mendapatkan posisi sebagai penjaga gol B-23, Azim ternyata bersifat lebih yakin untuk menambat jiwa jurulatih sekali gus mempamerkan aksi terbaik sepanjang berada di kem pusat latihan itu.

Azim yakin dapat menambat hati Juan Torres dengan hasil kerja kerasnya.

“Sememangnya persaingan dalam kalangan penjaga gol agak sengit kerana yang datang semua ada nama dan ada yang bermain di kesebelasan utama bagi pasukan masing-masing. Jadi saya rasa kami akan bersaing dengan baik.

“Untuk mengambil hati jurulatih, saya perlu lebih berusaha dan kerja keras, tunjukkan kemampuan saya dan dari situ coach akan lihat, InsyaAllah ada tempat untuk saya,” katanya ketika ditemu semasa hari pertama di kem pusat latihan, Wisma FAM.

Azim merupakan penjaga gol yang cemerlang beraksi bersama bekas pasukannya, Kuala Lumpur (KL) City FC dan kini sah menjadi milik Selangor FC.

Penampilannya bersama skuad B-23 juga tidak asing lagi malah kini, dirinya mempunyai peluang lebih cerah untuk merebut tempat selaku penjaga gol nombor satu skuad kendalian Juan Torres setelah seorang lagi penjaga gol, Sikh Izhan telah mewakili skuad utama Harimau Malaya.