Select Page

Derbi Lembah Klang dan Utara jadi tarikan Liga MFL

Derbi Lembah Klang dan Utara jadi tarikan Liga MFL

DERBI setempat antara Selangor FC dan Kuala Lumpur City FC serta derbi Utara antara Kedah Darul Aman FC dan Penang FC adalah antara tarikan utama Liga MFL atau Liga Simpanan B-23 selepas sesi undian kumpulan dijalankan pada Selasa.

Liga MFL yang pertama kali diperkenalkan Malaysia Football League bakal menyaksikan kesemua pasukan pembangunan bersaing antara satu sama lain bagi merebut kejuaraan dan juga sebagai kilang yang melahirkan lebih ramai pemain muda berbakat.

15 pasukan bertanding dalam Liga MFL dan dipecahkan kepada dua kumpulan dengan lapan pasukan dalam Kumpulan A manakala tujuh pasukan bakal berentap dalam Kumpulan B dengan perlawanan akan dilangsungkan mengikut format ‘home and away’.

 

Kedah Darul Aman dan Penang diundi dalam Kumpulan A bersama-sama pasukan PDRM, Skuad FAM-MSN, Johor Darul Ta’zim II, Terengganu FC II, Sabah dan Kelantan United

Selangor dan Kuala Lumpur City pula diletakkan dalam Kumpulan B bersama-sama pasukan Negeri Sembilan, Kuching City, Perak, Sri Pahang dan Kelantan menjanjikan saingan yang cukup sengit.

Jika sebelum ini pemain muda sering sukar untuk mendapat tempat dalam kesebelasan utama skuad utama, kini peluang mereka memperagakan aksi terbuka luas dengan adanya Piala MFL yang melibatkan 14 perlawanan untuk Kumpulan A dan 12 perlawanan untuk Kumpulan B.

Empat pasukan teratas setiap kumpulan pula akan layak ke peringkat Liga Juara yang akan dilangsungkan secara satu pusingan sebelum dua pasukan teratas berentap pada aksi final yang ditetapkan pada 5 November 2023.

Ketua Jurulatih Skuad B23 tahun kebangsaan, E. Elavarasan yang menjalankan proses undian itu berkata Piala MFL ini penting kerana banyak bakat baharu boleh dicungkil untuk mewakili negara.

“Pertandingan ini penting kerana tahun ini kita akan ada empat pertandingan melibatkan kumpulan umur bawah 23 tahun dan ini akan memberi peluang buat pemain yang berpotensi untuk mewakili skuad B23 tahun kebangsaan dan mungkin juga skuad senior kebangsaan.”

Pengendali skuad B23 negara, E Elavarasan

Turut senada dengannya adalah Safee Sali yang menganggap kewujudan Liga MFL ini akan memberikan lebih pilihan buat barisan kejurulatihan skuad kebangsaan untuk memilih pemain yang berpotensi untuk mewakili negara berdasarkan aksi dan minit permainan yang mencukupi.

Piala MFL akan memulakan aksi peringkat kumpulan dari 2 Mac hingga 24 Julai 2023 sebelum peringkat Liga Juara akan dilangsungkan pada 1 Ogos hingga 30 Oktober 2023.

Video Terkini

Loading...