PENYERANG sensasi Johor Darul Ta’zim (JDT), Bergson Da Silva mengakui pengalamannya di Iskandar Puteri selama tiga tahun ini banyak mengubah dirinya menjadi pemain berpasukan berbanding sebelum ini yang lebih bersifat individu.
Bergson yang mencipta sejarah menjadi pemain pertama yang menjaringkan 100 gol untuk JDT juga terkejut kerana dipilih sebagai kapten pada perlawanan ini tetapi dia berbangga kerana dia dan rakan-rakan sepasukan dapat memberikan kemenangan sekaligus menjulang trofi Liga Super buat kali ke-10 berturut-turut.
“Sebelum datang ke sini saya adalah Bergson dan lebih bersikap individualistik. Tetapi pemain di sini jadikan saya pemain yang lebih baik dan jadikan saya pemain berpasukan.
“Kini saya tidak kisah siapa yang jaringkan gol. Seperti dalam perlawanan ini, saya serahkan penalti kepada Arif Aiman untuk berikan dia semangat dan saya bangga dengan perjalanan saya di sini.
“Saya tidak tahu saya dipilih sebagai kapten dan saya cuba lakukan yang terbaik untuk rakan sepasukan dengan membantu mereka semasa latihan dan juga ketika di dalam padang ini adalah hasilnya apabila kami berjaya memenangi kejuaraan,” katanya dalam sidang media selepas perlawanan.
Pemain import Brazil itu juga mahu dia dan para pemain terus berusaha bagi menghadapi pelbagai lagi cabaran serta dia mahu terus membanggakan para penyokong yang sentiasa ada dibelakang pasukan.
“Kami berikan segalanya dalam setiap permainan dan masih perlu mendorong diri kami untuk pastikan penyokong kami bangga dengan pasukan ini dan untuk perlawanan ini apa yang penting kami menang dan meraih kejuaraan, ini lebih penting,” katanya.
Dia juga tidak mempunyai sasaran gol peribadi tetapi dia gembira kerana berjaya menjadi penjaring terbanyak buat kelab dan akan terus berusaha untuk menjaringkan lebih banyak gol untuk membantu JDT terus mencipta kejayaan.