MASALAH teknikal yang dihadapi Kuala Lumpur Rovers apabila hanya berlepas ke Iskandar Puteri pada hari perlawanan menjadi faktor utama mereka tewas 0-6 kepada Johor Darul Ta’zim (JDT) pada aksi kedua Pusingan 16 Piala Malaysia.
Penolong jurulatih, Iqbal Hanafi Masduki menjelaskan yang para pemainnya sedikit keletihan kerana baru sahaja tiba dari Kuala Lumpur beberapa jam sebelum perlawanan dan ianya menjejaskan sedikit rentak permainan mereka.
Namun dia memuji aksi para pemainnya yang memberikan segala-galanya meskipun dibelenggu masalah di luar padang dan dapat mempelajari sesuatu dari dua aksi bertemu Harimau Selatan di Stadium Sultan Ibrahim.

“Sepanjang 90 minit, kami dapat lihat pemain agak keletihan akibat perjalanan yang panjang namun mereka berikan 100 peratus dan ini adalah pengalaman berharga terutama buat pemain-pemain muda bagi menghadapi baki saingan Liga A1 Semi Pro.
“Para pemain bermain demi lencana di dada dan juga pasukan walaupun ada masalah di luar padang tetapi pemain memberikan sepenuh hati untuk perlawanan ini dan juga ketika beraksi di peringkat liga,” katanya dalam sidang media selepas perlawanan.
Iqbal juga melihat dua aksi ini dapat memberikan gambaran buat mereka untuk memperbaiki pasukan menjelang saingan Piala Cabaran dan juga pada aksi Liga A1 Semi Pro yang berbaki sembilan perlawanan.

“Pertama kita lihat struktur permainan JDT sangat bagus dan juga mereka mempunyai pemain yang berkualiti dan ini berikan kami gambaran untuk hadapi dua pasukan yang lebih kurang sama iaitu Melaka dan Imigresen FC dalam saingan liga nanti,” jelasnya.
Jaringan sendiri Raffi Nagoorgani dan dua jaringan Bergson Da Silva serta masing-masing satu dari Jese Rodriguez, Mohamadou Sumareh dan Corbin Ong memberikan JDT kemenangan 6-0 untuk keputusan agregat 9-0.
KL Rovers kini akan beraksi di Piala Cabaran MFL 2024-25 menyertai dua lagi pasukan dari Liga A1 Semi Pro, PT Athletic dan Melaka FC untuk bersama Kelantan Darul Naim FC, Penang FC dan juara bertahan PDRM FC.