MENTERI Belia dan Sukan, Hannah Yeoh menyifatkan pelantikan legenda badminton negara, Datuk Seri Lee Chong Wei sebagai ahli majlis Persatuan Badminton Malaysia (BAM) sebagai detik yang sudah lama dinantikannya sejak memegang portfolio itu pada 2022.
Menurut Hannah, Chong Wei memiliki begitu banyak pengalaman dan kepakaran yang boleh disumbangkan kepada pembangunan badminton negara dan tidak seharusnya hanya berada di pinggiran BAM.

“Kehadiran beliau sebelum ini membantu kita di Majlis Sukan Negara (MSN) dan Program Road to Gold (RTG) amat saya hargai, namun penglibatan secara langsung dalam BAM adalah sesuatu yang lebih bermakna,” katanya, dalam kenyataan di Facebook rasminya.
Hannah yakin kehadiran Chong Wei akan menyuntik keterujaan, keyakinan serta ketepatan dalam keputusan dan dasar yang bakal ditentukan oleh badan induk badminton negara itu.
Beliau menegaskan, pengalaman Chong Wei sebagai bekas pemain nombor satu dunia memberi perspektif berbeza yang mampu menjadi jambatan jurang antara pemain, jurulatih dan pengurusan.

Datuk Seri Lee Chong Wei, sebelum ini, berada dalam jawatankuasa RTG.
“Terima kasih banyak, Datuk Seri LCW kerana akhirnya bersetuju! Now it’s time to move from knee to waist-deep in pouring back into Malaysian badminton, Kam sia lu,” katanya berseloroh.
Hannah optimis pelantikan Chong Wei bukan sahaja akan memperkukuh struktur kepimpinan BAM, malah menjadi pemangkin kepada misi memburu Piala Thomas, emas Olimpik dan status nombor satu dunia.