IMPIAN Johor Darul Ta’zim (JDT) untuk mara ke pentas akhir Malaysia Futsal Cup 2025 lebur selepas tewas 4-8 kepada Pahang Rangers dalam aksi separuh akhir kedua di Stadium Tertutup Pasir Gudang, sekali gus menyaksikan agregat memihak kepada Pahang Rangers 11-9.
Berbekalkan bekalan tipis 5-3 dari aksi pertama, JDT turun dengan keyakinan tinggi di hadapan penyokong sendiri, namun skuad Pahang Rangers tampil lebih garang dengan corak permainan pantas serta penyudah tajam untuk membunuh impian tuan rumah.
Harith Naim membuka tirai jaringan seawal minit ke-12 sebelum bintang import, Felipe de Souza mempamerkan kelas sebenar dengan hatrik pantas pada minit ke-13, 22 dan 24 bagi meletakkan Rangers selesa di depan. Walaupun Awalludin cuba menghidupkan semula rentak JDT dengan gol pada minit ke-14, skuad Harimau Selatan tetap gagal mengekang asakan bertali arus pelawat.

Moura menambah derita JDT dengan gol keempat Rangers pada minit ke-39, namun tuan rumah kembali menyalakan semangat menerusi jaringan Ridzwan pada minit ke-35 dan Awalludin sekali lagi pada minit ke-40 untuk menutup babak pertama penuh dramatik.
Memasuki separuh masa kedua, JDT terus mencari gol untuk mengejar defisit, tetapi sebaliknya Rangers lebih tenang mengawal tempo. Harith Naim meledak gol kedua peribadi pada minit ke-45 sebelum dua jaringan berturut-turut menerusi de Souza dan Norakmal pada minit ke-49 menutup terus peluang kebangkitan JDT, meskipun Abu Haniffa berjaya meraih gol saguhati.

Foto:FAM
Kekalahan itu pastinya pahit untuk ditelan JDT yang mempamerkan kebangkitan dalam aksi pertama, tetapi nyata kekuatan fizikal, pengalaman dan sentuhan berbisa de Souza menjadi pemisah di antara kedua-dua pasukan.
Dengan kemenangan agregat 11-9, Pahang Rangers kini mengintai peluang untuk menjulang trofi Malaysia Futsal Cup 2025 apabila mara ke pentas final, sekali gus membuktikan status mereka sebagai kuasa besar futsal tanah air.