BEKAS anggota skuad Piala Thomas, Ong Ewe Hock menyifatkan dua kekalahan kekalahan terpaksa ditempuhnya pada acara berpasukan badminton paling berprestij dunia itu, sebagai amat mengecewakan.
Ewe Hock berada dalam skuad negara yang mara ke final Piala Thomas 1994, 1998 dan 2002, memilih edisi 1994 di Jakarta dan 2002 di Guangzhou sebagai kekecewaan yang menyakitkan kerana tahu Malaysia mampu mengulangi pencapaian 1992.

Ong Ewe Hock pernah berada dalam skuad Piala Thomas yang tiga kali muncul naib juara.
Menurutnya, provokasi penyokong sehingga perlawanan akhir di Istora Senayan, menentang Indonesia menyebabkan situasi tidak terkawal.
“Saya turun sebagai perseorangan kedua, setelah Rashid (Sidek) dan (Cheah) Soon Kit-(Soo) Beng Kiang tewas.

Aura kejuaraan Piala Thomas 1992 masih panas dirasakan pada edisi 1994.
“Seperti biasa, saya tidak pernah takut terhadap provokasi penonton, bermain cara saya dan sentiasa menjerit di gelanggang.
“Mungkin sebab itu penyokong semakin panas sehingga selepas saya tewas, pengadil terpaksa menamatkan segera tanpa meneruskan dua perlawanan berikutnya,” kata Ewe Hock, mengimbau detik skuad negara cuba mempertahankan Piala Thomas yang dimenangi pada 1992.

Keputusan final Piala Thomas 1994.
Indonesia terus dinobatkan sebagai juara edisi 1994 dan skuad negara dihimpukan dalam tandas dan tidak dapat keluar untuk menerima pingat pada penyampaian hadiah.
“Saya geram dan frust sangat apabila buat julung kalinya di Piala Thomas, pingat disampaikan dalam tandas, tak ada podium untuk kami kerana stadium (Istora Senayan) sudah kecoh, sehingga kami diiringi pasukan keselamatan untuk pulang ke hotel.”
Pada final terbabit, Rashid tewas kepada Hariyanto Arbi 6-15, 11-15 manakala Soon Kit-Beng Kiang pula tunduk kepada Rudy Gunawan-Bambang Suprianto 10-15, 15-6, 8-15 dan Ewe Hock kalah kepada Ardi Wiranata 11-15, 5-15.

Cheah Soon Kit (kanan) dan Soo Beng Kiang tewas mengejut pada perlawanan keempat final Piala Thomas 2002.
Dua lagi perlawanan yang tidak diteruskan membabitkan Yap Kim Hock-Tan Kim Her menentang Rexy Mainaky-Ricky Subagja dan Foo Kok Keong menentang Hermawan Susanto.
Dua tahun berikutnya di Hong Kong, Malaysia ke final lagi dan bertemu lawan yang sama.
Ewe Hock bermain sebagai perseorangan pertama menyumbang mata apabila mengatasi Hariyanto namun tiga perlawanan berikutnya memihak Indonesia sebelum Roslin Hashim turun pada perlawanan kelima menewaskan Joko Suprianto.
Satu lagi kekecewaan besar dialami Ewe Hock pada Piala Thomas adalah edisi 2002.

Keputusan final Piala Thomas 2002.
“Di Guangzhou, kita perlukan satu mata sahaja lagi.
“Waktu kita perlukan satu mata sahaja untuk julang Piala Thomas, tapi beregu kedua dan ketiga kita tewas,” cerita Ewe Hock.
Pada final 2002 yang menyaksikan sistem tujuh mata digunakan, Malaysia berdepan Indonesia, dan skuad negara meraih mata pertama menerusi Wong Choong Hann yang menewaskan Marleve Mainaky namun beregu pertama, Chan Chong Ming-Chew Choon Eng tunduk kepada gandingan Chandra Wijaya-Sigit Budiarto menjadikan kedudukan 1-1.
Selepas itu Lee Tsuen Seng mengejutkan Taufik Hidayat mengubah kedudukan 2-1 sebelum Choong Tan Fook-Lee Wan Wah tewas mengejut kepada Halim Haryanto-Tri Kusharyanto dan Roslin Hashim kalah kepada Hendrawan, meragut peluang negara menjulang Piala Thomas.
Untuk rekod, sejak kali terakhir Malaysia menjulang Piala Thomas 1992, empat kali skuad negara cuba mengulanginya iaitu pada edisi 1994, 1998, 2002 dan 2014.