KEMUNCULAN beregu lelaki profesional Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani sebagai pasangan no. 1 negara ketika ini, meredakan tekanan yang selama ini dipikul Aaron Chia-Soh Woh Yik.

Gandingan dari Persatuan Badminton Malaysia seharusnya mampu mempamerkan aksi tanpa tekanan yang ditanggung sejak 2019 setelah reputasi mereka “dirampas” Sze Fei-Nur Izzuddin yang memperagakan aksi luar biasa apabila mara ke final Jelajah Dunia Akhir (WTF) 2024 di China, Disember lalu.

“Saya lihat perkara ini sebagai sesuatu yang bagus untuk acara beregu lelaki negara.

“Tidak penting siapa nombor satu atau dua, tetapi yang lebih utama kami sama-sama mewakili Malaysia.

“Saya gembira dan mereka juga bermain dengan cukup baik ketika ini dan layak berada di kedudukan itu. Jadi, kami akan berjuang untuk diri sendiri,” kata Aaron, ditemui selepas sesi menguji gelanggang Terbuka Malaysia di Axiata Arena, Bukit Jalil pada Isnin.

Pasangan nombor enam dunia itu, menamatkan saingan Terbuka Malaysia tahun lalu, apabila singgah di suku akhir turut berharap semua pemain negara berusaha keras untuk menamatkan kemarau gelaran juara di Terbuka Malaysia.

Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani pernah satu pasukan dengan Aaron Chia-Soh Wooi Yik, dan kini mereka masih bersama-sama membawa nama negara di pentas antarabangsa.

“Saya percaya bukan kami sahaja, tetapi semua pemain negara mahu menang selepas kita sudah tujuh tahun gagal (raih gelaran) di laman sendiri.

“Ia tidak mudah kerana ada keterujaan serta tekanan dan semua pemain akan cuba beri yang terbaik,” kata Aaron.

Sebagai rekod, kali terakhir pemain Malaysia meraih kejuaraan Terbuka Malaysia ialah menerusi Datuk Lee Chong Wei pada 2018.