HANYA tinggal Ng Eain Yow dan S Sivasangari meneruskan harapan negara di Kejohanan Dunia Skuasy yang sedang berlangsung di Chicago, Amerika Syarikat (AS) apabila kedua-duanya melangkah ke pusingan ketiga, ketika dua lagi wakil, kandas di pusingan kedua.
Eain Yow yang diletakkan selaku pilihan ke-10, meneruskan rentak cemerlang apabila tidak mencicirkan sebarang set ketika mengatasi pemain ranking ke-58 dari Pakistan, Muhammad Asim Khan11-4, 11-2, 11-4 di pusingan kedua.

Begitupun tugas getir menantinya di pusingan ketiga, apabila pemain ranking nombor 1 dunia yang juga pilihan kedua kejohanan dari Mesir, Mostafa Asal.
Asal ke pusingan ketiga juga menampilkan prestasi cemerlang selepas mengatasi pemain Jerman, Raphael Kandra 11-3, 11-5, 11-2.
Berdasarkan rekod tiga pertemuan lalu, Asal mendahului Eain Yow 2-1 dan pertembungan terakhir kedua-duanya tahun lalu, menyaksikan Eain Yow tewas straight set.
Turut mara, ratu skuasy negara, Sangari yang berjaya mengatasi cabaran pemain Mesir, Sana Ibrahim 3-1.

Sangari berada di ranking kesembilan dunia meneruskan rekod cemerlang empat pertemuan sebelum ini, apabila mencatat kemenangan 11-4, 11-6, 5-11, 11-5.
Justeru, Sangari akan berdepan cabaran getir pemain kelapan dunia dari AS, Amanda Sobhy yang memiliki rekod pertemuan seimbang 2-2.
Hasrat melihat dua lagi pemain wanita mara, tidak kesampaian apabila Rachel Arnold tewas kepada Olivia Weaver (AS) 5-11, 2-11, 13-11, 5-11, manakala Aira Azman tunduk kepada Salma Hany (Mesir) 6-11, 10-12, 4-11.